Kementerian Shahrizat mohon RM459j untuk p’raya? |
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 22 Jun: Wanita Pakatan Rakyat mendakwa bajet tambahan sebanyak RM459 juta yang dipohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah untuk menghadapi pilihan raya. Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) berkata, permohonan itu tidak relevan kerana laporan bidang keberhasilan utama negara (NKRA) menyatakan bahawa berlaku pengurangan sebanyak 118 keluarga yang menerima bantuan kebajikan. "Kalau pengurangan penerima bantuan sampai 118 ribu keluarga maknanya peruntukan untuk kebajikan sepatutnya makin kurang. "Tapi yang anehnya kementerian meminta bajet hampir RM500 juta katanya untuk sumbangan warga miskin. "Ini nampak terang bajet Umno untuk menghadapi pilihan raya dan saya yakin ini adalah program yang akan dibuat oleh wanita Umno untuk turun kepada rakyat," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Sementara itu, Zuraida Kamaruddin meminta menteri berkenaan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengkaji semula jumlah dan pengagihan peruntukan tersebut kerana ianya hanya akan memfokuskan kepada pembangunan sosio ekonomi secara "one-off" atau lebih spesifik, perancangan jangka pendek semata-mata. "Peruntukan belanjawan tambahan sebanyak RM459 juta yang dimohon turut menunjukkan peningkatan sebanyak 87 peratus dari jumlah peruntukan asal belanjawan 2011, sekaligus membawa kepada jumlah hampir RM1 billion peruntukan keseluruhan buat lima kategori perbelanjaan "one-off" ini bagi tahun 2011. "Ianya satu jumlah yang tidak relevan apatah lagi hanya untuk kegunaan bagi tempoh lima bulan sahaja, iaitu Ogos hingga Disember 2011. Ini bermakna kos perbelanjaan sebulan mencecah hampir RM92 juta," katanya yang juga ketua wanita PKR. Tambahnya juga, menurut analisis Dr Siti Mariah (PAS-Kota Raja) setiap 222 kawasan Parlimen akan mendapat agihan sebanyak RM2.07 juta, untuk diagihkan kepada 10,350 orang golongan miskin, OKU dan warga emas yang tertindas adalah amat serius di Malaysia. Katanya, Sharizat seharusnya sedar bahawa RM459 juta ini melibatkan dana awam, maka suatu sistem kewangan yang tersusun dan terancang perlu dilaksanakan, dan tidak berterusan melaksanakan program-program di saat-saat akhir. |
No comments:
Post a Comment