Thursday, March 24, 2011

WONG ANTARA YANG TERBAIK PELAJARAN TASAWWUR ISLAM

WONG menunjukkan mata pelajaran Tasawwur Islam yang mendapat A+ pada slip keputusan SPM di Sekolah Menengah Agama Tok Jiring, Kuala Terengganu, semalam.

Pelajar Cina antara 17 pelajar terbaik Terengganu dalam peperiksaan SPM

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Cina antara 17 pelajar terbaik Terengganu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, turut mencatat sejarah manis apabila memperoleh A+ bagi mata pelajaran Tasawwur Islam dalam peperiksaan itu.

Wong Yujing, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini, juga memperoleh 10A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Pelajar yang berasal dari Kampung Gong Badak itu berkata dia mula mengikuti kelas Tasawwur Islam sejak Tingkatan Empat dan minatnya untuk mengambil mata pelajaran itu tersemai kerana dikelilingi rakan beragama Islam hingga timbul keinginan untuk mendalami agama Islam. 

"Saya minat hendak tahu mengenai Islam kerana ia agama rasmi Malaysia dan ingin tahu pandangan orang Islam terhadap kehidupan. Tidak sukar memahami mata pelajaran ini kerana rakan yang beragama Islam sering membantu, selain guru yang mengajar dengan penuh tumpuan walaupun saya bukan Islam.

"Malah, saya mendapat sokongan kuat ibu bapa dan mereka tidak membantah saya mengambil mata pelajaran ini. Saya cuma belajar sendiri dengan bantuan guru dan rakan serta mentelaah buku teks," kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang ditemui selepas pengumuman keputusan SPM di SMK Agama Tok Jiring di sini, semalam.

No comments: