Tuesday, March 22, 2011
HARGA GETAH TURUN 48%...
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Harga komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada kekal berada di paras tinggi sejak 5 tahun lalu hanyalah pada kedudukan umum, tetapi kini para penoreh getah kembali terhimpit apabila harga komoditi utama itu telah turun mendadak sehingga 48 peratus.
Sehubungan itu, kerajaan diminta menubuhkan stok pengimbal getah negara bagi mengawal harga komoditi utama itu agar terus kekal tinggi dan tidak naik dan turun mendadak.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menjelaskan, penurunan harga getah sehingga 48 peratus berlaku sejak dua minggu lalu apabila harga sekilogram getah sekerap hanya RM4.60 berbanding harga tertinggi sebelum ini RM8.80 sekilogram.
Menurut beliau, penurunan harga sehingga RM4.20 sekilogram itu tentunya amat membebankan para penoreh getah, tetapi harga itu juga belum diketahui sama ada akan terus bertahan pada paras itu atau akan terus turun lagi sehingga lebih membebankan para penoreh getah di kampung-kampung.
Katanya, untuk menjaga kebajikan para petani, peneroka dan penoreh getah, beliau telah bertanyakan kepada pihak kerajaan apakah langkah yang dilakukan agar harga komoditi utama itu terus kekal tinggi menerusi soalan tambahan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
"Jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin itu memang betul, tetapi ia tidak merujuk kepada keadaan sebenar harga getah sejak dua minggu kebelakangan ini yang telah turun mendadak sehingga sebanyak itu," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Semalam ketika menjawab pertanyaan Wan Abdul Rahim, Hamzah menjelaskan harga komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada kekal di paras tinggi sejak 5 tahun lalu.
Contohnya, harga purata minyak sawit mentah (crude palm oil - CPO) pada tahun 2010 adalah di paras RM3,620 setan berbanding dengan RM1,395 setan pada tahun 2005, iaitu kenaikan sebanyak 159 peratus dalam tempoh 5 tahun.
Bagi tempoh Januari hingga Februari 2011 pula, harga purata CPO adalah RM3,789 berbanding RM2,532.50 dalam tempoh yang sama pada tahun 2010.
Harga getah gred SMR 20 telah meningkat daripada RM5.23 sekilogram pada tahun 2005 kepada RM10.58 sekilogram pada tahun 2010. Paras tertinggi dalam sejarah yang telah dicapai adalah RM17.17 sekilogram iaitu pada 18 Februari 2011. Manakala bagi tempoh Januari hingga Februari 2011 harga purata gred SMR 20 adalah RM16.26 sekilogram.
Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Wan Abdul Rahim menjelaskan, penurunan harga getah sehingga hampir 50 peratus itu sebenarnya bukan berpunca dari kekurangan permintaan terhadap getah asli di seluruh dunia, tetapi disebabkan stok yang tinggi atau berlebihan di kilang-kilang getah sehingga menyebabkan pihak kilang kurang melakukan pembelian daripada para penoreh.
"Apabila pihak kilang telah menghantar atau mengeksport dalam kuantiti yang banyak ke luar negara, harga getah akan tinggi kembali, tetapi kita tidak pasti bila akan berlaku dan akan bertahan selama mana," katanya.
Untuk membolehkan harga getah terus kekal tinggi, beliau menyarankan pihak kerajaan agar mengawal selia kedudukan pengilang-pengilang supaya penurunan sebanyak itu tidak berlaku.
Selain itu, beliau juga menyarankan kerajaan agar mewujudkan semula stok pengimbal getah negara supaya dapat mengawal harga getah secara langsung bagi membolehkan harga getah terus kekal tinggi demi kepentingan para penoreh dan negara.
Dalam masa yang sama, beliau turun mengingatkan pihak kerajaan agar turut memikirkan tentang kepentingan mengembalikan semula kedudukan negara sebagai negara pengeluar getah asli utama dunia dengan melakukan beberapa langkah yang diperlukan, memandangkan Malaysia kini berada di tangga kedua di belakang Thailand dalam senarai pengeluar getah dunia.
"10 tahun lalu, harga getah (sekerat) hanya 35 sen sekilogram. Kini harganya memang dah jauh lebih tinggi, tetapi turun pula hingga 48 peratus dua minggu lalu. 40 tahun lalu juga, Malaysia adalah pengeluar utama getah dunia dan kerajaan turut ujudkan stok pengimbal getah negara.
"Kini kita minta kerajaan wujudkan kembali stok pengimbal getah negara dan lakukan beberapa langkah bagi mengembalikan kedudukan negara sebagai pengeluar getah utama dunia.
"Kita tak rugi kalau terus menjadi pengeluar getah utama dunia kerana permintaan terhadap getah asli dunia tidak pernah berkurangan. Contohnya Jepun. Di Jepun, getah asli digunakan sebagai tapak pembinaan bangunan. Selain Jepun, getah asli juga turut diimport oleh negara-negara lain lagi," ujar beliau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment