Saturday, September 21, 2013

BERSUARALAH GOLONGAN PROFESIONAL

Sangat ganjil apabila golongan profesional berjawatan tinggi di dalam bidang masing-masing (perubatan, kejuruteraan dan lain-lain), tetapi apabila berada di dalam gerakan dakwah dan siasah, mereka berubah menjadi seorang yang pengikut yang patuh, sami'na wa 'atha'na, hilang pemikiran kritis dan disiplin empirikal yang menjadi rutin harian di tempat kerja.

Apabila dihadapkan atau berhadapan dengan isu-isu kritikal, mereka cepat mengalah daripada berpendapat, sebaliknya menyerahkan sahaja pendirian mereka untuk ditentukan oleh golongan agamawan, yang mungkin memberikan pendapat yang di luar kemahiran mereka, malah menyanggahi apa yang sebenarnya.

Salah satu punca yang boleh saya hipotesiskan ialah, apabila jemaah ini konotasinya agama, maka sikap yang golongan ini bawa ke dalamnya adalah sikap beragama mereka yang dibentuk oleh tradisi feudal. Tunduk kepada otoriti agamawan. Berterusan menginsafi kejahilan diri. Tiada kebaikan pada perbuatan memp
ersoalkan. Maka dalam urusan jemaah dan parti, golongan profesional yang menerima latihan industri dan akademik bertaraf tinggi, berubah menjadi murid yang taat.

Ia adalah sekularisme yang tersembunyi dalam wajah agama.

Sepatutnya kita hanya ada satu perisian diri. Jika dalam beragama kita komited dengan dalil, kita juga perlu komited kepada sandaran dan rujukan dalam urusan duniawi. Jika kita empirikal dalam pekerjaan dan penyelidikan, bertaqlid buta dalam agama tidak mungkin sesuatu yang boleh berada dalam batang tubuh yang sama.

Kecuali dengan sekularisme, dualisme yang membingungkan kita.


- Ustaz Hasrizal ; saifulislam.com

No comments: