Sunday, May 20, 2012

ADAKAH PAS AKAN HILANG TARING ??


DEMOKRASI PERMUAFAKATAN DALAM NEGARA YANG BERSIFAT PLURAL
Kesilapan ‘fatal’ yang kedua, dilakukan oleh Prof Madya Dr Samsu Adabi Mamat bilamana beliau gagal memahami hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang multi etnik dan plural. Setelah meneliti pendapat yang beliau kemukakan dalam akhbar Berita Harian 17 Mei 2012, penulis tertanya-tanya, sebagai seorang ‘Saintis Politik’ tidakkah beliau menyedari kewujudan konsep ‘Consociational Democracy’ begitu berpengaruh sekali dalam menganalisis politik negara multi etnik khususnya dalam dunia ketiga. Sebelum penulis membahaskan lebih lanjut lagi, izinkan penulis untuk menjelaskan sedikit berkenaan Consociational Democracy (demokrasi permuafakatan) ini terlebih dahulu.
Konsep politik yang diformulasikan oleh Sarjana Politik terkemuka, Arend Lijphart (yang juga merupakan penerima anugerah terkemuka Sains Politik ‘Johan Skytte Award). Fungsi teoritikal utamanya ialah untuk menganalisis ‘patterns of democracy’, disamping menganalisis proses ‘power-sharing’ dalam sesebuah Negara multi etnik dan bersifat plural, sama ada daripada sudut politik dan agama. Tujuan utama konsep ini ialah bagi membolehkan proses ‘negotiations and conflict management’ dilaksanakan dalam politik Negara demi mengelakkan konflik politik tercetus dan merebak sehingga menjejaskan kestabilan Negara.
Prof Madya Dr Samsu Adabi seharusnya memahami, Malaysia merupakan sebuah Negara yang bukan bersifat ‘homogenous’ iaitu hanya terdiri daripada satu bangsa sahaja, seperti Negara-negara Scandinavia dan Jepun misalnya. 27 juta rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India dan sebagainya (tanpa mengambil kira kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak). Selain itu, Malaysia bukanlah sebuah Negara yang hanya mempunyai satu agama dan kepercayaan sahaja. Kita mempunyai rakyat yang beragama Islam, Kristian, Hindu,Buddha,pagan dan berbagai lagi jenis kepercayaan.

Sehubungan dengan itu, disebabkan oleh sifat plural yang diwarisi oleh masyarakat kita, tidak hairanlah setiap kumpulan akan bersaing di antara satu sama lain untuk mendominasi kuasa pemerintahan. Jika tidak diuruskan konflik sebegini, tidak mustahil ia akan berpotensi untuk meletus sebagai konflik berdarah,bersenjata dan sebagainya. Berdasarkan hal ini, setiap kumpulan perlu berunding sesama sendiri untuk mencapai persetujuan bersama (consensus). Arend Lijphart (1977) melalui karya ‘magnum opus’ beliau yang bertajuk ‘Democracy in Plural Society’, menggariskan 4 kriteria utama iaitu:
1) Grand Coalition
2) Mutual Veto
3) Proportionality
4) Segmental Autonomy
Tidaklah menjadi tujuan penulis untuk menyampaikan kuliah ‘Politik Perbandingan’ (Comparative Politics) dalam artikel ini, namun cukup untuk penulis membahaskan secara ringkas ke empat-empat kriteria ini dalam mengkritik pendapat Prof Madya Dr Samsu Adabi yang terlalu ‘rigid’ dan keliru dalam rukun asas analisis politik masyarakat plural.
1) Kesemua parti politik yang mewakili ideologi dan kepentingan masing-masing perlu berkerjasama dalam satu ‘gabungan politik’ demi memastikan kepentingan masing-masing terpelihara. Dalam usaha memastikan kerjasama ini berjaya, setiap elit dalam organisasi politik akan berunding sesama mereka. Berikutan itu, dalam perundingan sesetengah tuntutan akan digugurkan dan sesetengah perkara pula akan diterima bersama.
Berdasarkan hal ini, PAS perlu mengugurkan tuntutan ‘negara Islam’ dan menumpukan hal kepentingan bersama seperti keadilan, kesaksamaan,kesamarataan ekonomi dan politik dapat dicapai. Mungkin PAS mengugurkan tuntutan ‘Negara Islam’, namun dalam satu sisi, intipati ‘negara Islam’ tersebut terjelma dalam konsep ‘Negara Kebajikan (welfare state)’. Bukankah Islam mementingkan konsep keadilan (justice),kesaksamaan (fairness) dan kesamarataan (equality)? Apakah Prof Madya Dr Samsu Adabi sebagai seorang yang pakar dalam pemikiran politik Islam menyedari intipati khutbah terakhir (Khutbah Wida’) Nabi Saw yang menuntut keadilan,kesamarataan dan kesaksamaan kepada semua umat manusia?
Berikutan itu, walaupun PAS mungkin terpaksa mengugurkan ‘negara Islam’ dalam perjuangannya, namun dalam satu perspektif, mereka berjaya menyerapkan intipati Negara Islam kedalam konsep Negara Kebajikan yang telah dipersetujui bersama dalam gabungan politik mereka iaitu Pakatan Rakyat? Oleh itu, dari sisi manakah PAS kehilangan taring jika mereka berjaya menyerapkan ‘intipati Negara Islam’ dalam consensus Pakatan Rakyat?
2) Negara kebajikan yang diterima pakai sebagai objektif bersama disokong oleh semua kumpulan yang berada dalam gabungan politik. Konsensus majoriti ini akan mengatasi tuntutan minoriti. UMNO sendiri pun terpaksa menerima konsep ‘Jus Soli’ sewaktu rundingan dengan parti etno-nasionalis lain iaitu MCA dan MIC. Namun, dalam satu sisi, UMNO berjaya mendapatkan hak keistimewaan Melayu-Bumiputera sebagai salah satu konsensus bersama.
Situasi ‘win-win situation’ ini bukanlah suatu yang janggal dalam perundingan konflik. Berbalik kepada isu PAS, mereka mungkin kehilangan salah satu tuntutan mereka berikutan ‘mutual veto’, namun dalam hal lain seperti kesucian agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,Keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu misalnya akan tetap diterima, dipelihara dan didukung oleh ahli gabungan lain dalam gabungan.
Namun, ternyata Prof Madya Dr Samsu Adabi yang hanya memandang satu sisi perjuangan PAS sahaja iaitu hudud, memperlihatkan bahawa beliau tidak pernah langsung mengikuti transformasi perjuangan PAS. Seolah-olah hudud itu merupakan satu-satunya ‘pillar‘ Ideologi PAS.
3) Proportionality merupakan satu kriteria penting dalam membicarakan sama ada PAS sudah hilang taring dalam politik nasional. Berbalik kepada hujah asal bahawa Malaysia merupakan Negara multi etnik dan plural, tidaklah menjadi satu masalah kepada PAS jika hanya bertanding di 60 buah kerusi Parlimen. Berdasarkan statistik, 60 % (lebih kurang) rakyat Malaysia beragama Islam. Namun, tidaklah semua 60% umat Islam di Malaysia tinggal di satu kawasan mengundi (constituency) sahaja. Sudah semestinya komposisi pengundi ini terpencar-pencar diserata negara.
Maka, pembahagian kerusi dalam komponen Pakatan Rakyat perlulah mengikut proportionality (perkadaran). Dikawasan majoriti etnik Cina dan india misalnya di parlimen Ipoh Timur,Bukit Bungah dan Jelutong,apakah munasabah jika diberikan kepada PAS? Sudah semestinya diperuntukkan kepada komponen lain seperti DAP dan PKR. Perlu disedari bahawa PAS diperuntukkan kerusi terbanyak di negeri-negeri ‘Malay belt’. Kerana dikawasan sebeginilah terdapatnya ramai pengundi Melayu-Islam.
Berikutan itu, di manakah relevennya hujah Prof Madya Dr. Samsu Adabi bahawa PAS sudah kehilangan taring dan laksana peribahasa ‘melukut di tepi gantang’ dalam Pakatan Rakyat,sedangkan PAS mendapat peruntukan kerusi (seats allocation) yang banyak di kawasan majoriti Melayu-Islam? Sebagai seorang ‘penganalisis politik’ beliau seharusnya memahami strategi pilihan raya dan mengetahui dengan fasih data-data kuantitatif di Malaysia.
4) Kriteria terakhir iaitu ‘segmental autonomy’. Kriteria ini memberikan kuasa kepada setiap ahli gabungan untuk menguruskan hal ehwal dalaman sendiri tanpa dicampuri oleh ahli gabungan lain. Jika Prof Madya Dr Samsu Adabi mengatakan PAS kehilangan taring kerana mengadaikan prinsip perjuangan kerana mahu terus kekal dalam perjuangan Pakatan Rakyat, ternyata beliau silap dalam analisis-pendapatnya.
Kita ambil contoh krisis di negeri Kedah di mana Dato Seri Azizan Razak yang merupakan Menteri Besar merangkap Pesuruhjaya PAS negeri berhadapan dengan masalah dengan timbalan-timbalannya. Mereka mampu menyelesaikan krisis ini dengan menggunakan saluran mereka sendiri tanpa dipengaruhi atau ditekan oleh ahli komponen lain. Ini membuktikan PAS mempunyai ‘segmental autonomy’ dalam Pakatan Rakyat, selaras dengan kriteria yang dikemukakan melalui analisis demokrasi permuafakatan oleh Arend Lijphart.
Berdasarkan hal ini, dari sudut manakah PAS kehilangan taringnya dalam Pakatan Rakyat?
PENUTUP
Sejak daripada awal artikel ini ditulis, niat penulis adalah untuk memperbetulkan kesilapan dan kekeliruan yang ternyata jelas dalam analisis-pendapat Prof Madya Dr Samsu Adabi. Sejak awal keratan laporan Berita Harian 17 Mei 2012 yang bertajuk ‘PAS Hilang Taring, Tumpang Parti Lain’, penulis sudah mengesan kejahilan beliau dalam menanggapi situasi politik Malaysia kontemporari. Kesilapan ‘fatal’ beliau yang tidak menyedari betapa multi etnik dan pluralnya hakikat sebuah Negara bernama Malaysia ini menyebabkan penulis terpanggil untuk melakukan ‘refutation’ kepada pendapat beliau. Seharusnya, sebagai seorang ‘Saintis Politik’, Prof Madya Dr Samsu Adabi perlu lebih peka terhadap perkembangan terbaru politik Malaysia.
Selain itu, kegagalan beliau dalam membezakan hakikat perbezaan parti Politik dan NGO serta ketidak tahuan (mungkin terlupa) beliau kepada konsep-konsep asas sains politik menyebabkan pendapat dan analisis beliau tersasar jauh. Melalui artikel ini, penulis sebagai seorang yang amatur,menyarankan kepada Prof Madya Dr. Samsu Adabi lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat dan analisis beliau agar selaras dengan ilmu Sains Politik yang beliau ajarkan di Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tugas seorang Ahli Sains Politik bukanlah untuk memberikan pendapat yang pro kepada sesebuah parti, sama ada yang berkuasa atau membangkang. Namun, pendapat seorang Ahli Sains Politik itu haruslah neutral dan selaras dengan disiplin ilmu. Penulis amat berbesar hati jika Prof Madya Dr Samsu Adabi dapat membalas kritikan ini dengan cara yang ilmiah. Hal ini selaras dengan gelar Doktoral dan Prof Madya yang disandang oleh beliau di menara gading. Perkembangan politik Malaysia kontemporari yang begitu rencam memerlukan setiap penganalisis lebih menguasai pelbagai teori dan konsep utama politik.
Hal ini bermaksud, setiap penganalisis itu perlulah mengeluarkan pendapat dan analisis yang lebih kemas dan tidak terdorong sebarang sentimen ‘cari makan’ dan memartabatkan kembali akademia yang seharusnya lebih neutral, kritikal dan komprehensif. Tanpa pemahaman yang jelas berkenaan teori-konsep,seseorang itu seharusnya malu mengguna pakai gelaran ‘penganalisis politik’,sedangkan pendapat dan analisis hanya seperti ‘sembang politik kedai kopi’ sahaja. Sekali lagi penulis tegaskan, artikel ini merupakan kritikan dan bukanlah untuk memalukan mana-mana pihak. Hal ini kerana, kritikan merupakan elemen penting bagi memastikan wacana (discourse) dalam disiplin ilmu itu terus berkembang subur.
*Mohd Rizal Hamdan merupakan alumni Program Sains Politik-Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini beliau berkhidmat sebagai seorang guru di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Artikel ini dijumpai dalam blog Diskopi. dan mediaperak

No comments: