Friday, January 27, 2012

BERMAAFANLAH KITA

Berkata Anas r,a, bahawasanya Nabi SAW telah bersabda.
 
Allah Ta'ala telah berfirman, maksudnya : "..Berteriaklah suatu suara dari tengah-tengah Arasy pada hari kiamat : 'Wahai umat Muhammad.! Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman ; Segala yang Aku berhak atas kamu, maka Aku telah berikannya kepada kamu. Kini tinggallah kesalahan-kesalahan kecil antara sesama kamu, maka bermaaf-maaflah sesama sendiri, kemudian masuklah ke dalam syurga dengan Rahmat-Ku.."
(Hadis Riwayat Ibrahim al-Maqarri) - Hadis Qudsi.

Huraiannya :

Di hari akhirat nanti dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh manusia sesama mereka masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk bermaaf-maafan supaya setiap orang yang akan masuk syurga telah bersih daripada noda dan dosa. Sebaik-baiknya kita perlu bermaaf-maafan sesama kita samaada kesalahan kecil atau besar semasa di dunia lagi kerana dikhuatiri ada kesalahan yang kita lakukan tidak boleh dimaafkan melainkan dibayar dengan pahala yang kita miliki.

Berdasarkan hadis Nabi SAW dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

1 comment:

Anonymous said...

Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya.(al-a'raf:199)

"...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(An Nuur:22)


... dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
( At Taghabun:14)