Tuesday, May 24, 2011

USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN BERTANDING - TIMBALAN PRESIDEN


TEMERLOH, 24 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden
 PAS dalam keadaan 'berat' dan merasakan "saya sedar saya bukanlah calon terbaik."

Beliau mengumumkan perkara ini jam 11 pagi hari ini dan yakin, "calon-calon lain,
 yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang
 serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama."
Dengan pengumuman ini, sudah tiga calon mengesahkan untuk menyertai
pertandingan jawatan timbalan presiden iaitu penyandang sekarang, Ustaz
 Nasharudin Mat Isa dan AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau:

Saya telah menerima surat rasmi dari Jawatankuasa Pemilihan PAS pada 
22hb Mei 2011.  Saya telah  mendapat pencalonan untuk dua jawatan, iaitu 
Jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dengan jumlah pencalonan 
yang agak memberangsangkan.

Walaupun saya telah berkali-kali menyatakan hasrat bahawa saya lebih 

berminat untuk diberi peluang bagi meneruskan kerja saya dalam parti 
sebagai Naib Presiden sekiranya ada pencalonan yang mencukupi, namun
 kawasan-kawasan terus juga mencalonkan saya untuk bertanding jawatan 
Timbalan Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar.

Saya tidak bercadang untuk menyatakan jumlah pencalonan yang saya terima,

 namun ianya suatu jumlah yang memerlukan saya untuk memikirkan semula
 hasrat saya sebelum ini secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan.

Sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak

 sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu 
dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan

 untuk jawatan Timbalan Presiden dengan hati yang terbuka, pada masa yang
 sama amat terasa beratnya - dan menyerahkannya kepada perwakilan untuk
 membuat keputusan.

Saya ingin merakamkan ucapan  terima kasih kepada semua kawasan yang

 telah mencalonkan saya - dengan rendah diri, saya sedar saya bukanlah
 calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya 
dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang 
hebat untuk parti sekian lama.

Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman 

mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya penuh keyakinan 
dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang
 sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS Pusat
24 Mei 2011

1 comment:

Anonymous said...

ustaz munafik,
haritu kata taknak bertanding demi menjaga perpaduan parti.
sekarang nak bertanding pulak.
Ustaz flip flop!