“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.
(a). Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak ( daripada kaum lelaki ) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain.
Janganlah beberapa orang dari kalangan orang mu’min mengolok-olokan orang mu’min yang lain. Selepas itu Allah s.w.t. menyebutkan setiap alasan mengapa perkara itu tidak boleh dilakukan menerusi firman-Nya:
(b) ( Kerana ) harus puak lelaki yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.
Ini kerana kadang-kadang orang yang diolok-olokan itu lebih baik di sisi Allah s.w.t. daripada orang yang mengolok-olokannya, seperti yang dinyatakan dalam sebuah athar. Barangkali orang yang berambut kusut penuh debu tidak punya sesuatu dengan tidak dipedulikan, sekiranya dia bersumpah dengan menyebut nama Allah s.w.t. dan Allah s.w.t pasti akan mengabulkannya.
Jadi sepatutnya, tidak ada seorang pun yang berani mengolok-olokan orang lain yang dia pandang hina kerana keadaannya yang compang-comping, atau kerana dia cacat pada tubuhnya atau kerana dia tidak lancar berbicara. Mungkin dia lebih ikhlas nuraninya dan lebih bersih nuraninya, lebih bersih hatinya daripada orang yang sifatnya tidak seperti itu. Jika melakukan demikian bererti dia menganiaya diri sendiri dengan menghina orang lain yang di hormatinya oleh Allah s.w.t.
(c) Dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka.
Janganlah kaum wanita mengolok-olokan kaum wanita yang lain kerana mungkin yang diolok-olokan itu lebih baik daripada wanita yang mengolok-olokan itu. Allah s.w.t menyebut perkataan jama’ pada dua tempat dalam ayat tersebut, kerana perbuatan mengolok-olokan itu dilakukan dikhalayak ramai dan ini menimbulkan keseronokan antara mereka untuk memperolok-olokan sehingga menyebabkan ada pihak yang sakit hati.
Al-Tirmidhiy pernah meriwayatkan daripada A’ishah r.a. yang berkata “Aku meniru gaya seorang lelaki di hadapan Nabi s.a.w. Lalu baginda pun bersabda,
“Sesungguhnya Allah tidak memandang rupamu dan hartamu, tetapi Dia memandang kepada hati dan amal perbuatanmu.”
Ini menunjukkan seseorang itu tidak boleh dipastikan berdasarkan pujian atau celaan oleh orang lain berdasarkan rupa, amal, ketaatan atau pelanggaran yang nampak padanya. Ini disebabkan mungkin seseorang itu mengetahui sifat yang tercela dalam hatinya sehingga amal itu tidak patut dilakukan. Mungkin juga orang yang kita lihat itu lalai atau mahu melakukan maksiat, tetapi ternyata Allah s.w.t. tetap mengetahui sifat terpuji menerusi hatinya sehingga dia menerima keampunan. Dengan itu bolehlah difahami bahawa amalan merupakan tanda-tanda zanniyyah, bukannya petunjuk yang pasti.
(d) Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain.
Janganlah sebahagian daripada kamu mencela sebahagian yang lain menerusi ucapan atau isyarat secara tersembunyi.
Firman Allah s.w.t. iaitu “Anfusakum” merupakan peringatan bahawa orang yang berakal tentu tidak akan mencela dirinya sendiri. Oleh sebab itu tidak sepatutnya dia mencela orang lain. Ini disebabkan orang lain itu pun seperti dirinya juga dan oleh itu, Nabi s.a.w. bersabda.
“Orang mu’min itu seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh itu menderita sakit, pasti seluruh tubuh akan sama-sama tidak dapat tidur dan demam”.
Kemudian Sabda Nabi s.a.w pula :
“Seorang daripada kamu melihat tahi mata pada saudaranya, sedangkan dia membiarkan batang pokok pada matanya sendiri.”
Ada pula orang mengatakan : “ Antara yang boleh membawa kebahagian kepada seseorang ialah apabila dia sibuk memikirkan keaiaban dirinya sendiri sehingga tidak sempat memikirkan keaiban orang lain.”
Seorang penyair turut bermadah :
Aib orang jangan didedah,
Nanti aibmu dibuka Allah,
Kebaikan orang perlu diheboh,
Mengaib orang jangan digopoh,
(e) Dan janganlah pula kamu panggil-,memanggil antara sama lain dengan gelaran yang buruk.
Janganlah kamu memanggil sebahagian yang lain dengan gelaran yang menyakiti dan tidak disukai. Umpamanya dengan menyebutkan lafaz seperti berikut kepada seorang muslim, “Wahai fasik! Wahai munafik! Ataupun berkata kepada orang yang menganut Islam, “Wahai Yahudi! Wahai Nasrani!”
Qatadah dan Ikrimah meriwayatkan daripada Abu Jubayrah Ibn al-Dahhak yang berkata : “ Ayat : wa la tanabazu bi’l-alqab turun mengenai Bani Salamah. Dalam hal ini, Rasullullah s.a.w tiba di Madinah sedangkan di kalangan kami mempunyai lebih daripada satu nama (gelaran). Apabila baginda memanggil salah seorang daripada mereka dengan nama yang mereka miliki pasti mereka menjawab, “Ya Rasullullah! Sebenarnya dia tidak menyukainya!” Kemudian turunlah ayat ini (Hadith riwayat al-Bukhariy).
Ibn Jarir telah mengeluarkan sebuah athar daripada Ibn ‘Abbas, bahawa yang dimaksudkan dengan al-Tanabazu bil-alqab ialah seorang lelaki yang telah melakukan amalan buruk, kemudian dia bertaubat dan kembali kepada kebenaran, maka Allah s.w.t. melarang orang itu dicela dengan perbuatannya yang telah lalu. Bagi gelaran yang mengandungi pujian dan penghormatan serta benar-benar ada, itu tidaklah dilarang. Umpamanya orang memanggil Abu Bakr r.a dengan ‘Atiq, ‘Umar r.a pula dengan nama al-Faruq, manakala ‘Uthman r.a. pula dengan Dhu’n-Nurayn, ‘Ali k.w. dengan panggilan Abu al-Turab, dan Khalid dengan Sayfu’llah.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment