Tuesday, January 11, 2011

APABILA 1ST LADY BERLAGAK SEPERTI ARTIS???

Yang ni la agaknya hotel yang diinap Rosmah , Atlantis Hotel Dubai yg diduduki Rosmah n Najib yg rate semlm ialah 120K Dirham!! Didedahkan oleh YB Azmin. 120k sama dengan berapa hengget? Rakyat melarat dengan beban kenaikkan harga barang...

PUAN HAJJAH ROSIAH SALLEH
Setiap orang pasti merasa bangga bila dirinya menjadi tumpuan dan sanjungan ramai. Sesetengah orang, populariti sebegini yang dicari dan dikejar untuk mencapai maksud tersendiri. Bahkan ada yang sanggup melakukan apa saja agar diri mereka menjadi tumpuan, sanjungan dan sebutan ramai.

Namun, berapa ramai yang menyedari dan menginsafi betapa populariti yang diraih itu sepatutnya diikuti dengan diri menjadi contoh terbaik ikutan ramai? Menjadi role model untuk audien sasaran tertentu?

Kalangan artis misalnya, sanggup melakukan pelbagai cara agar diri menjadi tonjolan media: dengan harapan diri akan diminati ramai! Bahkan sudah menjadi trend di kalangan mereka yang bergelar artis, baik di Hollywood, Bollywood maupun di Malaysia Boleh, semuanya berlumba untuk mendapat liputan di media-media massa! Dan akhirnya, masyarakat terutamanya para remaja, menjadi mangsa kepada ‘perniagaan media dan hiburan’!

Ramai yang tidak menyedari betapa kuatnya hubungkait di antara media dan masyarakat. Jikapun kita sering bercakap peranan media dan masyarakat, namun kita sering alpa untuk mengambil tindakan terhadap kesan media kepada masyarakat, jauh sekali untuk mengambil tindakan proaktif atau alternatif bagi mengelak segala kesan negatif yang dihasilkan media.

Sejarah menunjukkan bagaimana kewujudan ‘yellow journalism’ berkait dengan manusia dan cerita-cerita sensasi dan peribadi dijadikan berita komoditi oleh media. Akhirnya, pasaran media dipenuhi dengan penyiaran berita komoditi manusia yang sepatutnya menjadi milik peribadi dan maruah seseorang insan! Allah mengingatkan kita betapa berita sensasi fitnah lebih tajam dari mata pedang dan boleh membunuh seseorang! Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 191:

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ
Maksudnya: ... dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan ...

Bak kata pepatah dalam kewartawanan: Jika anjing menggigit manusia, itu bukanlah berita, namun jka manusia yang menggigit anjing, maka itulah yang dikatakan berita! (Tapi apakah jika ditukar kepada jika ayam menggigit manusia, itu bukanlah berita, namun jika manusia menggigit ayam?...Itu kita lakukan hampir setap hari!)

Bandingkan dan lihat apa yang dilakukan oleh media terhadap masyarakat negara ini? Negara yang meletakkan Islam sebagai negara rasmi di dalam perlembagaannya? Negara yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu dan Islam?

Alangkah sedihnya bila media dan masyarakat di negara kita Malaysia, negara yang mempunyai perlembagaan yang jelas mengatakan bahawa Islam merupakan negara rasmi negara ini, namun bukan saja membiarkan media luar negara mempersendakan maruah rakyat, budaya Timur dan agama Islam, bahkan media dalam negara juga dengan bangganya ‘mendidik’ dan membentuk artis dan pengacara media hilang sopan dan silu. Lupakah kita dengan hadith Rasulullah yang bahawa:


الحياء من الإيمان
“Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman” (hadith sahih riwayat Bukhari no 24 dan Muslim no. 36 , Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Maajah.

Paparan media baik dalam media bercetak, elektronik atau internet, begitu bangga memperkenalan ikon yang langsung tidak melambangkan contoh teladan yang baik buat masyarakat! Bahkan terdapat pengacara rancangan televisyen wanita remaja yang bercakap dari katil di bilik tidur, berselimut, untuk menunjukkan suasana santai dan mesra. Apakah mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat?

Kini, bukan sahaja mereka yang bergelar artis begitu ghairah dan berlumba-lumba untuk ditonjolkan oleh media, bahkan golongan pemimpin termasuk pasangan mereka bersaing mencari tempat di dada-dada media.

Artis dan pemimpin kini begitu sinonim dan kelihatanamat senang bila digandingkan bersama! Pemimpin dan golongan berpengaruh merasa begtu bangga bila mendapat pasangan daripada golongan artis! Siapa yang mempengaruhi siapa? Pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat kini begitu ghairah membiarkan artis mempengaruhi mereka!

Terdapat kalangan pemimpin yang begitu bangga bila mendapat pasangan artis dan tanpa silu mempamerkan isteri artis mereka untuk tatapan umum: tugas seorang suami yang sepatutnya membimbing isteri dan melindungi isteri kini beralih tampuk. Isteri artis kelihatan berjaya dan bermegah bila dapat menguasai suami pemimpin dengan gaya artis yang menghairahkan!

Bahkan, isteri pemimpin yang bukan dari golongan artis juga tidak mahu kalah, kalau boleh ingin lebih glamour dan popular! Aksi, cara berpakaian, penonjolan diri mereka juga tidak dapat membezakan sama ada mereka itu seorang artis yang tugasnya hanya untuk mempamerkan diri kepada khalayak ataupun sepatutnya bersama-sama dengan suami sang pemimpin berjuang untuk kepentingan rakyat dan negara.


Apakah slogan yang direka oleh suami-suami pemimpin mereka: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan – diaplikasikan dalam hidup isteri dan keluarga mereka terlebih dahulu sebelum mereka bertempik sorak di luar sana mencanangkannya untuk masyarakat!

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Mafhum surah At-Tahrim ayat 6 yang menekankan betapa kebajikan itu bermula di rumah jelas sekali gagal difahami apatahlagi untuk diamalkan oleh pemimpin-pemimpin kita hari ini!

Amatlah malang sesebuah negara jika pemimpin negara didampingi oleh mereka yang hanya layak digelar sebagai artis! Mereka ini begitu bangga bila mendapat liputan meluas media meskipun gaya penampilan mereka bertentangan dengan apa yang dicanang dan kononnya diperjuangkan oleh suami-suami pemimpin mereka.

Mengikut Perlembagaan Negara Malaysia, bukan sahaja Islam menjad agama rasmi negara, bahkan meletakkan Yang DiPertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Negara. Selaku Ketua Negara, YDPA juga bertanggung jawab memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu di negara ini. Jelas sekali, Permaisuri Agong merupakan Wanita Pertama Negara ini, namun pemakaian Wanita Pertama tidak pernah ditonjolkan selama ini kerana kedudukan Malaysia sama sekali tidak sama dengan negara-negara yang memakai gelaran Wanita Pertama atau First Lady untuk isteri Perdana Menteri mereka.

Pemakaian istilah First Lady juga tidak pernah menjadi isu selama ini kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, isteri Perdana Menteri begtu ghairah menonjolkan dirinya ke mata dunia. Mereka semua sedar kedudukan diri mereka yang bukan sahaja sepatutnya menyokong dan tidak memalukan serta menghina suami mereka sendiri dengan perlakuan mereka yang melampau. Isteri-isteri pemimpin negara kita, baik pemimpin kerajaan maupun pembangkang ramai yang berusaha menjadikan diri mereka sebagai role model kepada masyarakat.

Namun, apabila Rosmah Mansor selaku isteri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dengan terang tanpa perlu bersuluh menggunakan istilah First Lady untuk dirinya, terutama bila diwawancara dengan media luar, sudah tentu ini menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Gelaran yang jelas untuk Permasuri Agong, dirampas dan digunakan olehnya dan ditonjolkan pula dengan penuh bangga seantero dunia, apakah mungkin banyak hak dan milik rakyat negara ini juga telah, sedang dan akan dirampas oleh wanita ini?

Masyarakat bukan sahaja memendam rasa marah dan benci dengan tindak laku wanita ini bahkan ramai yang merasa simpati kepada sang suami kerana gagal mendidik isterinya ke jalan yang diredhai Allah? Jika ayat 6 Surah Tahrim jelas gagal dilaksanakan ke atas keluarganya sendiri, bagaimana untuk membangunkan masyarakat dan ummah? Slogan Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan dengan jelas dipijak dan dicemuh oleh wanita ini bila beliau merampas gelaran First Lady, menonjolkan diri dengan kemewahan dan langsung tidak berusaha untuk menegakkan Perlembagaan yang meletakkan islam sebagai agama rasmi!

Apakah dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi ini di dalam Perlembagaan Malaysia, pemimpin negara dan isteri mereka merasa tidak wajib berusaha menjadi role model muslim yang terbaik? Terdapat ramai role model yang boleh dijadikan panduan dan ikutan, seperti diri Rasululah dan isteri-isterinya, seperti Khadijah r.a. seorang usahawan wanita berjaya dan gigih, Aisha r.a. seorang pendidik dan wartawan (perawi hadith muktabar) wanita pertama di dunia dan pelbagai pejuang Islam yang lain termasuk Zainab Al-Ghazali yang mengorbankan dirinya demi untuk Islam.

Bukankah pemimpin dan pasangan mereka itu sepatutnya menjadi role model kepada masyarakat? Role model bermaksud seseorang yang menjadi contoh teladan kepada masyarakat, perilakunya menjadi ikutan masyarakat. Sanggupkan kita membiarkan masyarakat, terutama isteri dan para remaja kita menjadikan isteri-isteri pemimpin sebegini sebagai role model? Apakah gelaran yang diciplak sendiri: iaitu sebagai First Lady, menghina dirinya sendiri bila perlakuan dan penampilan yang ditonjolkan bukan sebagai role model seorang isteri pemimpin tapi tak ubah sebagai seorang nenek yang terkejar-kejar dan berlumba-lumba menyaingi glamour dan populariti seorang artis, hingga adalakanya menyaingi populariti sang suami! Sanggupkah sang suami membiarkan seruan dan arahan Allah diengkari oleh isteri mereka sendiri: “…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada…” [Tafsir Al-Quran; An-Nuur 31

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاء بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاء بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُوْلِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاء وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Jika para pemimpin sanggup membiarkan diri mereka diperbodohkan oleh isteri mereka sendiri dan isteri-isteri pemimpin sanggup membiarkan diri mereka diperbodohkan oleh artis dan media yang mengaut untung mengeksploitasi tubuh, minda dan kerakusan kemewahan mereka, masyarakat perlu diselamatkan segera daripada mereka ini:

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 110:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

1 comment:

MarY_z said...

assalamualaikum. tazkirah pagi insyaAllah. teruskan menulis. saya sokong penulisan anda.