Tuesday, October 19, 2010

TABUNG HAJI KUOTA-KUOTA TABUNG HAJI..???

Tabung Haji Didesak Ubah Sistem Pilih Bakal Haji

KUALA LUMPUR 19 OKT - Seorang anggota Dewan Rakyat hari ini
mendesak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengubah sistem
pemilihan bakal haji berasaskan kuota kerana ia menimbulkan banyak
masalah, selain terlalu berorientasikan perniagaan.
  
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang membangkitkan
 isu itu berkata, sistem kuota berkenaan telah menyebabkan ketidakadilan
berlaku apabila ada pencarum mendakwa tidak diberi peluang sama rata untuk
mengerjakan rukun Islam kelima itu.
  
"Jadi orang Sabah kata, ini Barisan Nasional (BN) mahu masuk syurgapun
ada kuota...dalam Islam kita tahu antara syaratnya (masuk syurga) ialah naik
 haji...jadi bila mereka tidak boleh naik haji kerana di'control' oleh kerajaan..
.siapa yang mahu tanggung dosa?
  
"Dalam televisyen kita nampak ramai rakyat diberi peluang untuk bersuara
 mengatakan mereka sudah empat, lima, enam kali naik haji...mereka ini tak
 pakai kuotakah?" katanya ketika membahaskan Bajet 2011 di Parlimen hari ini.
  
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya TH mengamalkan sistem tidak
 akan menawarkan peluang sama kepada individu yang telah mengerjakan haji
 di bawah TH dalam tempoh lima tahun, bagi membolehkan kuota itu diberikan
kepada mereka yang tidak pernah menerima tawaran tersebut.
  
Abdul Ghapur juga mempersoalkan bagaimana kuota 35,000 jemaah haji yang
 diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia ditentukan.
  
"Ke mana kuota 35,000 jemaah itu diberikan kerana apabila kita minta kuota,
TH kata sudah tidak ada kuota...tahun ini, seluruh Sabah hanya mendapat 1,000
 kuota...sedangkan kalau bagi 2,000 kuota bagi 13 negeripun, baru 26,000," katanya.
  
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Taib Azamudden Md Taib (PAS-Baling)
yang mencelah bahawa TH kini sudah "lari" daripada asas matlamatnya iaitu
memberi kemudahan kepada jemaah haji menunaikan ibadah kepada perniagaan.
  
"TH ini berfikiran untuk berniaga, ada pakej Zamrud dan macam-macam pakej
 kerana mahu berniaga. Ada juga pakej am di mana VVIP, kawan-kawan, anak
 saudara pergi naik haji...bayar RM10,000 semua kelas pertama...ini mana boleh.
  
"Sedangkan orang miskin hendak kumpul RM10,000 pun kais pagi, makan pagi...
kenapa, TH untuk orang kaya sahajakah? Rakyat menabung untuk naik haji,
 bukan mahu pakej yang mahal-mahal," kata Abdul Ghapur.
  
Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
campur tangan supaya perkara seumpamanya dihentikan, selain memastikan
 setiap negeri diberi kuota yang sepatutnya agar TH tidak dilihat sebagai
berniaga dalam mendapatkan kuota haji.-Bernama.

No comments: