Friday, July 16, 2010

SASTERAWAN NEGARA AJAK RAKYAT MANSUH AKTA PENERBITAN

 Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said menegaskan sudah sampai masanya rakyat bangun menuntut agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang diguna pakai di negara ini dihapuskan kerana, ia jelas mengongkong kebebasan bersuara.
Mengulas tindakan kerajaan tidak memperbaharui dan memberhentikan pemberian permit penerbitan kepada lidah rasmi KeADILan, Suara Keadilan, awal bulan ini, beliau menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berat sebelah dan tidak memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat yang berlainan dengan pihak pemerintah.

Tegasnya, jika negara dan kerajaan Umno-BN mengamalkan sistem demokrasi, tidak timbul soal penarikan atau pembatalan permit untuk menerbitkan apa jua bahan kerana jika terdapat kesalahan seperti fitnah atau hasutan ia boleh dibicarakan mengikut undang-undang sedia ada di mahkamah terbuka.

Pak Samad yang ditemui Harakah Isnin lalu, mahu ada gerakan rakyat seperti Gerakan Mansuh ISA (GMI); Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan terkini Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) diwujudkan segera bagi mengerakkan kempen menghapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, yang jelas menguntungkan parti pemerintah sahaja.

"Dalam kes Suara Keadilan, sepatutnya mereka diberi peluang untuk membela diri. Bukannya matikan permit lidah rasmi parti itu. Kalau ada yang tak kena dengan laporan tentang Felda, menjadi tanggungjawab Felda menjelaskan kekeliruan yang timbul.

"Jika ada fakta yang salah, dianggap fitnah, seret sahaja ke mahkamah. Kenapa tak beri dia permit penerbitan? Ini namanya berlawan atas padang yang tak sama rata... Kenapa permit ditarik balik kerana sepatutnya Felda menafikan dakwaan Suara Keadilan supaya rakyat mendapat maklumat mengenai keadaan sebenar. Ini bererti Felda tidak mahu menjelaskan apa-apa atau mahu melindungi kebenaran daripada pandangan rakyat," tegas beliau dalam satu wawancara eksklusif bersama Harakah.

Tokoh wartawan dan sasterawan itu menyifatkan, kesedaran rakyat yang kian meningkat akan membolehkan demokrasi di negara ini berjalan sempurna jika trend ini berterusan setelah melihat kejayaan rakyat menundukkan kerajaan Umno-BN dalam isu memansuhkan PPSMI dan membatalkan kelulusan lesen judi bola sepak baru-baru ini.

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman menyokong penuh saranan Pak Samad agar Akta Penerbitan Mesin Cetak ini dihapuskan dan ditentang habis-habisan kerana ia tidak memberi peluang penerbit membela diri atau mempersoalkan keputusan penarikan balik sesuatu permit.

Katanya, isu permit untuk penerbitan sudah tidak relevan lagi dan rakyat patut menggerakkan massa untuk memansuhkan akta draconian itu secara lebih tersusun dan efektif. Ini kerana, permit penerbitan itu menjadi hak eksklusif kerajaan yang boleh diperlakukan apa sahaja tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Sementara itu, KDN bersedia menyita pejabat operasi Suara Keadilan dan kilang pencetaknya jika akhbar itu terus diterbitkan tanpa permit.

"Sudah tentu boleh (ditutup)," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein ketika ditanya mengenai kenyataan KeADILan bahawa Suara Keadilan akan terus diterbitkan.

Terdahulu, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato' Zaitun Ab Samad berkata, kalau beroperasi tanpa lesen, mereka perlu menanggung risiko dikenakan tindakan.

Hishamuddin dan Zaitun memberi reaksi terhadap kenyataan balas Pengarah Strategi KeADILan, Tian Chua bahawa penerbitan akhbar itu akan diteruskan walaupun permohonan untuk memperbaharui permit akhbar belum mendapat jawapan KDN.

No comments: