Wednesday, July 14, 2010

ESQ - HALAL DI MALAYSIA

PUTRAJAYA: Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan 
bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan 
pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.
Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu 
dibuat selepas muzakarah yang bersidang pada 16 Jun lalu berpuas hati dan 
berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam 
kursus itu boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Katanya, muzakarah turut memutuskan pihak ESQ membuat perubahan dan 
memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti dan 
perlakuan yang boleh menimbulkan keraguan atau yang boleh ditafsirkan sebagai
 bertentangan dengan syariat Islam.

"Sepertimana yang termaktub dalam undang-undang, kuasa untuk mengeluarkan
 fatwa adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

"Muzakarah menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri termasuklah
 fatwa mengenai ESQ yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan," katanya 
ketika mengumumkan keputusan mengenai status ESQ di Jabatan Kemajuan Islam
 Malaysia (Jakim) di sini hari ini.- Bernama

No comments: