Harakah pula ‘diperingatkan’ KDN
Selepas dua tabloid politik dipanggil ‘mengadap’ Kementerian Dalam Negeri
(KDN), kini giliran akhbar organ PAS Harakah pula dipanggil ke Putrajaya.
Menurut portal berita kementerian itu iKDN, dalam pertemuan kira-kira
setengah jam bermula pada 1.30 tengah hari semalam, Harakah antaranya
“diperingatkan peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN”.
“Niat pertemuan ialah hasrat KDN agar Harakah mematuhi perkara-perkara
yang tertakluk dalam garis panduan pemberian permit.
“Antaranya seperti pihak percetakan sewajibnya memberikan KDN 8 naskhah
suratkhabar mereka sebaik selesai dicetak,” laporan berjudul ‘Harakah Bersua
KDN’ itu dipetik.
Dalam pertemuan yang dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha
(Keselamatan) Datuk Abd Rahim Mohd Radzi itu, Harakah diwakili
pengarangnya Taufek Yahya.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad.
Menurut laporan itu, Harakah juga dimaklumkan kesulitan berkaitan perkara itu
dapat dielakkan sekiranya garis panduan KDN dipatuhi.
“Juga bukan niat KDN untuk memberi kesusahan tetapi sebagai entiti kerajaan
yang bertanggungjawab maka KDN akan bertindak jika garis panduan itu
diengkari,” demikian menurut laporan itu lagi.
“Tiada perbincangan mengenai artikel-artikel yang terkandung dalam Harakah
kerana motif sebenar perjumpaan ini diadakan adalah untuk memperingatkan
peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN.”
Dalam pertemuan itu, Harakah dilaporkan menghormati fungsi KDN dalam
memastikan setiap akhbar yang mempunyai permit penerbitan mematuhi apa
sahaja perkara yang terkandung dalam akta berkaitan.
“Bahkan beliau (Taufek) juga gembira dengan inisiatif KDN untuk mengadakan
perjumpaan seperti ini kerana pastinya banyak perkara yang sebelum ini sering
menjadi perbalahan diharapkan akan dapat diselesaikan dengan segera,”
kata laporan itu lagi
No comments:
Post a Comment