oleh : Ummu Rayyan
Kita sebenarnya mempunyai potensi untuk berfikir dan membawa perkara yang cukup besar. Sayangnya, potensi ini seringkali disekat atau dicantas oleh diri kita sendiri, atau mereka yang berada di sekeliling kita. Semuanya, dengan niat yang baik dan ikhlas.
Tidak mahu kita terlalu bercita-cita tinggi, sehingga membawa kepada kekecewaan jika kita gagal mencapainya. Ataupun, tidak mahu kita terlalu asyik dengan angan-angan sehingga tidak melakukan gerak kerja yang sepatutnya.
Sebenarnya tidak salah untuk mempunyai cita-cita setinggi langit. Malah, cukup silap jika kita cuma menghadkan potensi diri sekadar dalam ruang lingkup selesa (comfort zone), yang kadangkala diletakkan oleh diri sendiri! Kita sangat perlu kepada individu yang mempunyai cita-cita yang tinggi. Cita-cita ini pula bukan calang-calang, bukan cita-cita picisan yang hanya membawa kepada manfaat diri sendiri. Malah, bagi seorang daie yang fikirannya tidak putus-putus berfikir tentang umat, cita-citanya adalah cita-cita yang akan memberi manfaat kepada umat ini.
" Malah kita serahkan segala tenaga, harta dan jiwa kita untuk kebaikan mereka. Kita bekerja demi kepentingan dunia dan akhirat mereka. Kita juga korbankan segala harta dan jiwa kita untuk matlamat ini. Matlamat untuk membawa kebahagian kepada ummah dan saudara-saudara kita."
Halatuju Dakwah Kita
Oleh demikian, jangan sekali-kali takut untuk memasang dan berkongsi cita-cita. Rasulullah ketika dalam suasana kritikal perang Khandak, dalam keadaan penat dan lapar membina parit, masih sempat menyampaikan aspirasinya kepada sahabat-sahabat:
"Allah Maha Besar! Aku telah diberi kunci kepada Ash Sham! Aku dapat melihat istana-istananya yang merah pada saat ini!" "Allah Maha Besar! Aku telah diberi Parsi! Aku kini melihat istana putih Madain!" " Allah Maha Besar! Aku diberi kunci kepada Yaman! Demi Allah, aku dapat melihat pagar-pagar di San’a!"
Itulah antara karekteristik seorang daie. Sentiasa bertenaga, sentiasa bergeliga. Himmah tidak pernah padam walaupun dalam keadaan tertekan dan cemas sekalipun. Setiap kali diri diserang perasaan lemah, futur; cita-cita serta aspirasi yang tinggi inilah yang akan menjadi salah satu pemangkin untuk melonjakkan kita untuk terus ke depan. Bila jatuh, bangun semula. Terus bekerja. Terus berusaha. Terus mengejar cita-cita! Semua kerana masa depan umat terletak di atas bahu kita. Rasulullah sendiri tidak sempat bersama-sama sahabat ketika mereka berjaya menawan as Syam. Juga semasa tentera Islam akhirnya berjaya menawan Madain. Atau Yaman.
Tetapi Rasulullah telah meninggalkan kita dengan himmah itu. Kitalah yang perlu meneruskan perjuangan, dan di akhir nafas kita nanti, akan ada yang lain yang akan mengambil baton itu dari kita. Lalu seterusnya, dan seterusnya…sehingga tiada lagi fitnah, dan agama ini hanya untuk Allah. Maka teruskanlah bekerja.
Di tanah mana jua, dalam keadaan apa jua. Allah bersama kita. " Dialah Pelindung kamu. Maka Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. " [22:78]
1 comment:
entri yang menarik.. cite2 seorang da'ie =)
Post a Comment