Monday, July 18, 2011

TOLONG KAMI PERTAHANKAN KAMPUNG BARU

Semasa menghadiri pemakaman Dr Lo' Lo' siang tadi, saya didatangi oleh 2 adik beradik dalam lingkungan 55-60 tahun. Saya terperanjat apabila mak cik-makcik ini meminta dengan tangisan airmata.."Walaupun Yb sudah pergi tetapi tolonglah pertahankan jangan jual tanah kami di Kampung Baru.."


Kebetulan Yb Zailah selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat berada bersama saya, dan saya perkenalkan mak cik berdua kepada YB.
menangis mak cik dua beradik ini..kata salah seorangnya "mak cik yang selalu bentangkan sejadah bila aruah Yb Dr Lo' Lo' datang solat di masjid Kg Baru.."




Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, muslimat bertekad untuk memenuhi pesanan terakhir Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali agar mereka meneruskan perjuangan mempertahankan Kampung Baru yang merupakan amanah daripada penduduk.



Siti Zailah berkata, penduduk kampung Baru di bawah Parlimen Titiwangsa amat bertuah mempunyai wakil rakyat yang sanggup berjuang membela hak mereka walaupun dalam keadaan sakit.
"Wasiat beliau kepada kami supaya kami bersama rakyat mempertahankan maruah Kampung Baru. Itulah di antara wasiat beliau yang terakhir kepada kami.
"Jadi saya rasa penduduk Kampung Baru amat bertuah kerana walaupun wakil rakyatnya meninggal dunia tapi beliau memperjuangkan nasib Kampung Baru sehingga ke akhir nyawa dan kami akan menyambung perjuangan beliau untuk mempertahankan tanah Kampung Baru," katanya.
Sejak mula dipilih sebagai ahli parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah sangat komited dalam membantu penduduk kawasan itu mempertahankan tanah mereka daripada dirampas BN.
Beliau merupakan ahli Parlimen yang lantang membawa suara rakyat ke Parlimen bagi menolak Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru dan pelan perancangan membangunkan kampung tersebut.
Selain itu, beliau memberikan sokongan penuh dengan menghadiri sesi dialog penduduk dengan peguam dalam memberikan penjelasan mengenai status tanah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Selain itu Siti Zailah menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang sangat tabah dan cekal menghadapi segala cacian pihak lawan dalam emnegakkan kebenaran.
"Beliau tokoh mujahidah Islam yang cukup sabar, cukup tabah walaupun dalam keadaan kesakitan tapi masih cukup memberi semangat dan dorongan kepada kami dan banyak memberi pandangan bernas demi kebangkitan Islam," katanya.
Sambil menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan sebutir permata berharga, beliau berkata Allahyarhamah sentiasa memberikan semangat kepada kepimpinan muslimat untuk meneruskan perjuangan.
"Kami doakan roh beliau dicucuri rahmat, ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan apa yang beliau tinggalkan adalah amal jariah yang kita akan teruskan.
"Bagi kami kehilangan beliau satu kehilangan permata yang amat berharga untuk negara kita
"Di antara pesanan beliau kepada kami ialah supaya kami meneruskan perjuangan dan melaksanakan yang terbaik untuk masa depan Islam dan rakyat dan mengingatkan kami supaya sabar dan tabah dalam mengharungi perjuangan dan tidak patah semangat," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.
Sementara itu, ahli Parlimen PAS akan mengagihkan tugas untuk membantu menguruskan Parlimen Titiwangsa setelah pemergian Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali.

1 comment:

Blogger said...

Jasa baik Dr Lo'Lo tetap bersemadi
dihati....selamatkanlah kampong baru..