Friday, June 10, 2011

TERDUDUK UMNO DAN BALACI BILA BACA INI...

Coretan Muktamar PAS ke-57
Khalid Samad  
Dari kedai kopi hingga ke Pak Menteri dan tidak ketinggalan juga yang masih 
merasakan dirinya Perdana Menteri; telah banyak yang diperkatakan oleh 
segenap lapisan masyarakat semenjak berakhirnya Muktamar PAS yang ke 57 
pada hujung minggu yang lalu.

PROSES PEMILIHAN
Saya telah hadir ke Muktamar di Taman Melewar yang bermula pada Jumaat 
3 Jun hingga Ahad 5 Jun pada sekitar jam 4 petang. Ucapan dasar yang 
disampaikan membentangkan konsep ‘Negara Berkebajikan’ dan ini didakwa
 sebagai bukti PAS telah menyimpang dari dasarnya. Yang mendakwa sedemikian 
adalah UMNO yang dari awal tidak memahami apa yang PAS perjuangkan! 
Ini akan saya ulas secara lanjut di bawah.

Pada sebelah petang, pengundian dijalankan sambil minit mesyuarat, laporan 

tahunan dan laporan kewangan dibentang untuk dibahas. Hakikatnya, 
ini merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh ramai dan setelah selesai, 
ramai yang tidak sabar-sabar untuk tibanya esok hari kerana ingin 
mengetahui keputusan.

Amalan baru, ‘bidaah hasanah’, yang dilakukan pada tahun ini, setiap calon

 jawatan TP dan 3 NP telah melantik wakilnya untuk melihat proses
 perkiraan undi. Sambil itu, 5 orang lagi diambil secara rambang dari
 perwakilan untuk melihat proses tersebut bagi pihak calon AJK PAS Pusat. 
Bukan soal tidak percaya, tetapi untuk menentukan tiada fitnah yang dapat
 ditimbulkan lebih-lebih lagi oleh pihak lawan yang begitu kemaruk ingin
 memburuk-burukkan PAS dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan pada keesokan harinya, 

semua bergegas ke dewan muktamar dengan ada kedengaran 
bermacam-macam khabar angin. Saya juga turut ingin mendengar 
keputusan, lebih-lebih lagi untuk jawatan-jawatan tertinggi parti. 
Malangnya, jam 8.33 pagi saya menerima panggilan dari anak sahabat
 saya, Abdul Rahman Mayan, memberitahu bapanya baru sahaja 
meninggal dunia!

AL-MARHUM SAUDARA A. RAHMAN MAYAN
Semua yang bergiat dengan PAS Shah Alam mengenali A. Rahman Mayan. 
Beliau bergiat sebelum saya tiba di Shah Alam dan merupakan di antara
 penggerak utama PAS Shah Alam. Dewan restorannya di Temasya Food Court, 
semasa ianya disewa oleh Al-Marhum, sering digunakan untuk diadakan 
Mesyuarat Agung, Seminar dan Konvensyen. Beliau merupakan seorang
 periang, sangat-sangat murah hati dan penggerak yang komited. Beliau
 di antara pengasas Kelab Penyokong PAS yang sekarang ini telah dinaik
 taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS. Keikhlasan orang seperti
 Al-Marhum sebenarnya adalah dorongan bagi diri saya sendiri. Hakikatnya,
 perjuangan ini panjang dan sukar, tidak mungkin ditanggung seorang diri.
 Dengan adanya orang-orang seperti Al-Marhum, yang berkorban walaupun
 bukan dia yang menjadi calon, memberi suntikan semangat untuk kami
 terus berjuang.

Saya bergegas keluar dari dewan walaupun keputusan belum lagi diperolehi 

dan terus menuju ke rumah Al-Marhum. Ramai yang telah mula berkumpul. 
Saya sempat bertahlil ringkas dan membaca Yaa Siin dan sejurus selepas itu,
 jenazahnya dibawa ke Masjid An-Nahdah Seksyen 18. Saya diberi 
penghormatan mengimamkan salat jenazahnya dan selepas itu, dengan 
perasaan yang serba sebak, sempat juga menyampaikan kata-kata 
ringkas akan kebaikan Allahyarham.

Seterusnya kami mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan di Sek 21

 dan sejurus itu berita melalui SMS diterima yang menyatakan keputusan 
pemilihan, termasuk bahawa saya juga telah dipilih, tidak mampu 
menyerikan suasana sedih yang menyelubungi kami ketika itu.

Ramai yang berkumpul di tanah perkuburan sehingga 3 khemah yang 

disediakan tidak mampu menampung jumlah orang yang hadir. Al-Marhum
 dikenali dan disenangi ramai. Saya yakin tiada hutang yang ditinggalkan
 tetapi sebaliknya yang berhutang dengannya mungkin ada.

Jam 2 tengah hari, selepas makan tengahari, saya bersama sahabat 

kembali ke muktamar di Taman Melewar. Keputusan menunjukkan suatu
 line-up diperingkat tertinggi yang diluar dugaan. Ini kerana, ramai yang
 menganggap jawatan-jawatan tertinggi akan dimenangi oleh golongan 
berlatar belakang pendidikan agama secara rasmi. Akhirnya, jelas tidak begitu.

KEPUTUSAN PEMILIHAN
Seperti yang telah dijangkakan, pada keesokan harinya Utusan Malaysia 
melalak, “PAS menolak kepimpinan Ulama”. Apabila saya ditanya mengenai
 perkara ini, maka saya menjawab bahawa, “pemilihan merupakan pimpinan
 parti bukan pertandingan ‘Anugerah Ulama’ terbesar di dalam PAS’! Ianya
 pemilihan untuk memilih orang yang dianggap paling mampu membuat
 kerja tertentu. Dalam soal ini, Ulama’ atau bukan ulama’ tidak relevan 
sama sekali. Yang relevan, siapa yang boleh membuat kerja-kerja berkenaan. 
Soal kepimpinan ulama’, ianya telah diinstitusikan dalam PAS melalui 
terbentuknya Majlis Syura Ulama’. Jika ingin memilih ahli Majlis Syura, 
barulah persoalan ulama’ atau tidak diambil kira”.

PAS sentiasa dibawah kepimpinan ulama’ dengan adanya Majlis Syura Ulama’. 

Inilah sebabnya perlembagaan PAS dipinda pada tahun 80an dahulu dan 
ditambah peruntukan ‘Majlis Syura Ulama’. Sebelum itu badan ini dengan 
kuasa-kuasanya tidak wujud. Yang wujud hanyalah Dewan Ulama’. Sekarang 
adanya Dewan Ulama’ dan Majlis Syura Ulama’. Oleh yang demikian, Majlis Syura 
inilah senenarnya yang paling berpengaruh kerana ia memantau dan menentukan 
semua yang dilakukan PAS tidak bercanggah dengan Islam.

UMNO yang sendiri menangguhkan pemilihan parti itu, riuh mengenai pemilihan 

dalam PAS dan bagaimana kononnya PAS mengenepikan ulama’. Hendak 
termuntah membaca tulisan Utusan Malaysia, lidah tidak rasmi UMNO. Dalam 
UMNO, ulama di mana? Hanya Biro agama, sepertimana Biro sukan! Tidak 
segagah Pemuda dan Wanitanya. Malahan tenggelam bila dibanding dengan 
Puteri dan Puteranya (‘Puteri Putera’ – maklumlah UMNO ni golongan yang 
perasan Bangsawan!).

MUKA BARU!
Ada pula yang mengatakan, “dengan naiknya muka-muka baru ini, maka 
jelaslah satu perubahan menyeluruh telah berlaku dalam PAS!”.

Hmmmmmm... Muka baru? Eh sudah lupakah kita semua bahawa pada tahun 

2009, jawatan Timbalan Presiden turut ditandingi. Mat Sabu, Husham dan 
Nasharuddin bertanding. Pada ketika itu, Nasharuddin menang dengan
 memperolehi lebih kurang 42% dari undi. Yang selebihnya dikongsi di antara 
Mat Sabu dan Husham. Kali ini, Mat pula yang menang dengan mendapat lebih
 kurang 40% undi majoriti, manakala bakinya dikongsi pula di antara 
Tuan Ibrahim dan Nasharuddin.

Husham pula bertanding untuk jawatan Naib Presiden dan beliau merupakan

 mantan Naib Presiden 2007 – 2009. Maka, mana ada muka baru itu? Bagi saya, 
semua muka yang sama termasuklah Idris Ahmad, Nik Amar dan Nizar. Nizar 
pada pemilihan yang lepas telah mendapat undi terbanyak apabila bertanding 
AJK PAS Pusat sesi 2009 – 2011 dan agak wajar ada yang ingin melihat beliau
 ke jawatan Naib Presiden. Idris Ahmad pula sebagai mantan Ketua Penerangan.
 Maka adalah wajar ada yang mencalonkan beliau untuk jawatan Naib Presiden. 
Begitu juga Nik Amar, orang lama, Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan yang 
mencalonkan beliau mengambil-kira Kelantan Negeri yang telah lama diperintah
 PAS.

Seperti yang saya katakan tadi, tiada ‘muka baru’ hanya apa yang dilakukan 

perwakilan ialah memilih siapa yang dianggap mereka mampu meneraju parti 
untuk menghadapi PRU yang menjelang tiba. Ada yang menganggap orang ini, 
ada yang menganggap orang itu. Namun akhirnya, setelah diketahui keputusan,
 PAS akan kembali bersatu seperti biasa dan berhadapan dengan UMNO/BN 
sebagai sebuah parti yang mantap dan gagah. Hakikat ini turut difahami oleh
 UMNO.

Yang boleh dikatakan ‘muka baru’, seperti yang disebut DS Presiden, adalah 

saya dan Wahid Endut. Walaubagaimanapun, saya ini pun tidaklah baru sangat.
 Dari 1987 hingga 1993 saya pernah menjawat jawatan AJK PAS Pusat. Selepas 
1993, saya tidak bertanding dan menumpu kepada usaha diperingkat cawangan
 dan kawasan. 1997 saya menjadi YDP Shah Alam dan menumpukan usaha
 di peringkat Negeri Selangor. Pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan, 
Bendahari dan akhirnya Timbalan Pesuruhjaya 2 Negeri iaitu dari 2001 sehingga
 2009. Saya kembali ke peringkat Pusat selepas hampir 20 tahun! Sudah pasti 
bukan ‘muka baru’, sebenarnya yang lama itu jugalah!

Begitu juga YB Wahid Endut yang pernah bersama saya dahulu dalam Pemuda

 Pusat (1983 – 1989) dan seterusnya beliau menumpukan usaha beliau di peringkat
 Negeri. Menjadi ADUN dan MP Kuala Terengganu. Juga bukan ‘muka baru’, 
tetapi baru sahaja dipilih menjadi AJK PAS Pusat.

Bagi saya, pemilihan ini menzahirkan betapa ramainya calon yang layak 

memimpin PAS dan betapa kayanya PAS dengan pemimpin-pemimpin yang 
berpotensi! Jauh, jauh sangat bezanya dengan UMNO.

Bagi yang telah mengundi saya, saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas

 kepercayaan tuan-tuan terhadap diri saya. Saya berharap tuan-tuan akan 
mendoakan saya supaya mampu melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin.

NEGARA BERKEBAJIKAN DAN NEGARA ISLAM
Isu yang turut dilaung-laungkan ialah bahawa kononnya PAS sudah menggugurkan 
matlamat perjuangannya dan menerima matlamat perjuangan PKR dan DAP. 
Ini adalah kerana cogan kata yang digunakan PAS adalah ‘Negara Berkebajikan’ 
dan bukannya ‘Negara Islam’.

Hakikatnya, sekiranya ada parti politik yang ingin mengubah matlamat

 perjuangannya, ianya bukan dengan mengemukakan cogan-kata tertentu. 
Ianya mesti melalui pindaan perlembagaan parti tersebut. Selagimana 
perlembagaan tidak diubah, maka apa cogan kata sekalipun mesti ditafsir
 berdasarkan perlembagaan yang digunapakai.

Istilah ‘Negara Berkebajikan’ bagi ahli PAS ialah ‘sebuah masyarakat dan 

pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan 
hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’ (Perlembagaan PAS fasal 5).

Istilah ‘Negara Berkebajikan’ digunapakai kerana ingin memberi penegasan 

kepada aspek kebajikan yang terjamin dalam sesebuah masyarakat yang 
sedemikian rupa. Istilah ‘Negara Islam’ tidak digunapakai kerana penekanan 
melalui istilah itu adalah hukum-hakam Islam, khususnya Hudud, seolah-olah 
itu sahajalah apa yang terdapat di dalam pemerintahan yang diinginkan PAS. 
Sedangkan hukum-hakam Islam, termasuk Hudud, adalah bertujuan untuk 
menghasilkan kebajikan kepada manusia! Termasuk dalam takrif ‘berkebajikan’ 
itu adalah keadilan, kebertanggung-jawaban dan keamanan.

Dalam erti-kata yang lain, istilah ‘Negara Berkebajikan’ membawa rakyat untuk

 melihat kepada hasil dan kesudahannya; sambil istilah ‘Negara Islam’ 
memperlihatkan mekanisma dan perundangannya.

Jikalau dirujuk di dalam Al-Quran, istilah yang masyhur yang terdapat di dalamnya

 adalah ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafuur’ atau ‘Negara yang baik serta
 pengampunan dari Tuhan’. Ianya merupakan istilah yang menumpukan kepada 
persoalan hasil yang diinginkan dan hasil ini mampu menarik minat semua pihak.

Lagipun, semua yang mengaji memahami kaedah ‘Al-Hukmu yadurru ‘alal musamma

 laa ‘alal ismi’ atau ‘hukum (sesuatu perkara) bergantung kepada perkara yang 
dinamakan itu, bukan kepada namanya’. Dalam erti kata lain, ‘apa ada pada nama, 
yang penting benda atau isinya!’

SETERUSNYA...
Saya yakin, semua yang kalah bertanding jawatan Timbalan dan Naib akan 
dilantik kembali. Tugas-tugasan akan diberi dan bahtera yang kita kenali sebagai
 PAS ini akan terus belayar dengan gagahnya. Tiada yang akan merajuk dan tiada 
yang akan kecewa kerana di dalam PAS, jawatan sesuatu yang tidak dicari. Ianya
 amanah dan ianya tanggungan yang berat, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Yang penting ialah untuk bersatu dan bersedia untuk menghadapi PRU. Rakyat 

mengharapkan kemenangan bagi PAS dan PR yang membawa kepada satu perubahan
 yang bersejarah. Saf pimpinan yang telah dipilih menggalas harapan ini.

Hanya satu harapan saya di sini, semoga Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli 

Muhammad (KUIZM) digunakan seterusnya untuk seminar yang sering dianjurkan 
PAS. Dan juga untuk Mesyuarat Agung Kawasan, tetapi tidak lagi untuk Muktamar 
Tahunan. Kerana ianya telah menjadi terlalu kecil dan PAS telah menjadi semakin besar.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD 

3 comments:

Anonymous said...

Perwakilan ke Muktamar PAS kali ini juga telah memilih untuk mengukuhkan komitmen PAS kepada Pakatan Rakyat. Pemilihan Mohamad Sabu sebagai Naib Presiden dilihat jelas ke arah itu. Saya tidak melihat ianya kerana faktor perpecahan undi Ulama semata-mata. Ini kerana dalam persaingan untuk Naib Presiden, kedua-dua tokoh Ulama yang bertanding turut tercicir.

Ianya jelas menunjukkan pilihan perwakilan adalah politik dan masa depan PAS di dalam Pakatan Rakyat. Perwakilan yakin Pakatan Rakyat adalah jalan mereka untuk ke Putrajaya.

Apakah ini bererti PAS beransur-ansur menolak kepimpinan Ulama dalam pucuk pimpinan sebaliknya menyimpan ideologi kepimpinan Ulama sekadar di Majlis Syura iaiatu badan tertinggi dalam PAS? Saya merasa pilihan perwakilan adalah ke arah itu.

Satu indikasi yang membenarkan tekaan saya, ialah jika Menteri Besar baru PAS kemungkinan yang amat besar akan dipilih dari kalangan bukan Ulama.

Anonymous said...

UMNO yang menjadi cabaran terus kepada PAS perlu bersedia berhadapan dengan dengan hakikat bahawa PAS bukan lagi parti yang memperjuangan Islam sepenuhnya lagi, ini kerana PAS kini hanyalah seperti parti-parti politik biasa yang menggunakan prinsip-prinsip di dalam Ajaran Islam untuk menegakkan fahaman politik mereka.

Anonymous said...

BERPULUH TAHUN MENJAJA NEGARA ISLAM DAN HUDUD SAMPAI TERJADINYA KAFIR-MENGKAFIR, SEMBAHYANG DUA IMAM, SEMBELIHAN DIKATA TAK SAH, RUMAHTANGGA RUNTUH, TIDAK BERTEGUR SAPA SESAMA MUSLIM, PULAU MEMULAU KENDURI. TIBA-TIBA KATA NEGARA ISLAM TAK DISEBUT DALAM AL-QURAN DAN HUDUD BUKAN PRIORITI. BAGI MANUSIA BERAKAL FIKIRKANLAH. ALLAH MAHA BERKUASA MENAKDIRKAN SEGALANYA BERLAKU DIKALA MEREKA-MEREKA YANG TERLIBAT MASIH HIDUP UNTUK MENYAKSIKAN SEGALA SANDIWARA INI.