KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
BERHUBUNG NASIB PELATIH BOMBA (SDRI. HIZYATI OTHMAN)
YANG DIARAH MEMBOTAKKAN KEPALA UNTUK MENGIKUTI LATIHAN
Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memandang serius akan kejadian yang telah menimpa ke atas seorang Pelatih Bomba Wanita iaitu Sdri Hizyati Othman yang mendakwa bahawa dirinya dan 18 lagi Pelatih Bomba Wanita yang lain telah diarah untuk membotakkan kepala mereka pada 2 Mei 2011 yang lepas ketika mereka mendaftar diri bagi mengikuti latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai di Marang, Terengganu.
DMPP percaya bahawa insiden tersebut adalah suatu yang amat malang dan ironinya ia telah berlaku ke atas rakyat Malaysia setelah 54 tahun usia kemerdekaan negara yang sepatutnya dan seharusnya telah upaya menzahirkan satu sistem pentadbiran yang jauh lebih matang, jauh lebih beramanah dan jauh lebih bertanggungjawab pada rakyat (manusia) dan juga agama (Allah).
Insiden memalukan ini juga sebenarnya adalah manifestasi kegagalan UMNO Barisan Nasional untuk memastikan maruah ummat Melayu dan Islam khasnya dijamin dan akan terus terjamin secara kolektif serta efektif dalam seluruh lapangan kehidupan manusia hatta ”mu’amalah” yang ada. Ironinya, UMNO sering pula mahu berlagak hero, penyelamat ummah dan kononnya pembela Melayu-Islam bila mana berhadapan dengan cabaran ”Buku Jingga” - perpaduan sebenar ummat yang upaya dizahirkan kita melalui Dasar Bersama Pakatan Rakyat!
DMPP seterusnya mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri khususnya yang bertugas untuk menjaga kepentingan ummat Islam agar bertindak lebih pro aktif bagi memastikan bahawa kejadian-kejadian seumpama ini tidak terus menjadi budaya di dalam sistem dan pentadbiran Kerajaan UMNO Barisan Nasional yang sering melaungkan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam.
Tindakan membotakkan kepala wanita adalah jelas bertentangan dengan syariat Islam. Bahkan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 juga telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala Dan Berhias Secara Aneh ; dan jelas memutuskan bahawa membotakkan kepala wanita serta berhias secara aneh itu adalah HARAM.
Persoalannya, mengapa dasar dan prinsip ini tidak dijadikan teras yang merentasi tindakan, prosedur dan budaya kerja Kerajaan UMNO-Barisan Nasional? Ironinya, mereka beriya-iya menuduh PAS mengubah Dasar “Islam” bila kita mengenengahkan Visi Membangun Negara Berkebajikan dan kononnya kita menyisihkan serta tidak menghormati Ulamak! Walhal, pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional lah yang telah meninggalkan ruh dan adab Islam di dalam pengurusan bernegara mereka. Dan insiden ini adalah sebahagian kecil daripada bukti dan hujjah yang kita boleh kemukakan kepada mereka dan khalayak rakyat betapa UMNO sebenarnya GAGAL.
Justeru, DMPP menggesa agar Perdana Menteri dan Menteri yang menjaga hal ehwal Islam ini bertindak lebih bertanggungjawab dan pro aktif bagi memastikan maruah manusia umumnya dan ummat Islam khasnya terjaga dan terbela.
Demikian juga dengan prosedur-prosedur lain seperti membogelkan tahanan dan kemudian meminta mereka melakukan ketuk ketampi misalnya; yang sarat wujud di dalam sistem dan pentadbiran Kerajaan UMNO Barisan Nasional wajar dihentikan segera tanpa sebarang kompromi kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam dan mencemar martabat kemuliaan manusia amnya.
Sudah sampai masanya Menteri dan Jabatan yang terbabit menjalankan amanah dengan penuh bertanggungjawab, berintegriti dan jangan tunggu kejadian seumpama ini berlaku baru Menteri-Menteri atau pihak berwajib buka mata.
DMPP juga percaya bahawa kes seperti ini bukanlah suatu kes yang bersifat terpencil meskipun Menteri berusaha mengatakan bahawa kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku. Sikap dan jawapan Menteri yang mengatakan bahawa ”insiden membotakkan kepala wanita” ini adalah suatu yang tidak disengajakan juga dilihat sebagai satu jawapan yang cukup dangkal, bersifat memperbodoh-bodohkan rakyat hatta berbaur ”denial syndrome”, sindrom penafian yang lazimnya diamalkan oleh mereka yang berkuasa di bawah pentadbiran UMNO BN. Sikap memperbodoh-bodohkan rakyat ini dilihat telah menjadi budaya kepimpinan Barisan Nasional dan rakyat cukup jelak dan muak dengan kenyataan atau jawapan-jawapan yang seumpama ini.
Jawapan yang diberikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung itu sangat menyinggung dan “really insulted ‘rakyat’ intelectuallity”. DMPP menggesa Menteri dan pihak terbabit agar segera membuat permohonan maaf kepada mangsa, keluarga mangsa dan ummat Islam seluruhnya. Adalah tidak beradab bilamana permohonan maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa khususnya hanya dibuat melalui sidang media, sedangkan pihak yang menjadi mangsa tidak langsung disantuni dan ditemui.
Justeru, DMPP mengucapkan syabas atas keberanian Hizyati dan keluarganya yang telah memaklumkan insiden ini kepada khalayak umum kerana jika tidak tindakan membotakkan para Pelatih Bomba Wanita ini mungkin akan berterusan dan akan menjadi budaya yang dipandang biasa oleh pentadbiran Kerajaan UMNO Barisan Nasional. Tentunya jika itu berlaku maka ramai lagi Wanita Malaysia akan menjadi mangsa.
”Martabatkan Kemuliaan Wanita. Martabatkan Kemuliaan Manusia”. Allahu Akbar!
Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan
27 Jun 2011, Kuala Lumpur .
No comments:
Post a Comment