Tuesday, April 26, 2011

MUKA LAMA DAN MUKA BARU PAS KEDAH...

MB Kedah, Exco kekal YDP PAS kawasan















YAN, 26 April: Pemilihan parti peringkat kawasan di negeri
Kedah berjalan lancar dan turut menyaksikan Menteri Besar,
 Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) serta
 beberapa pemimpin utama kerajaan negeri yang lain
kekal sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS di kawasan masing-masing.
Azizan menang tanpa dicabar pada pemilihan jawatankuasa
 PAS Kawasan Jerai yang berlangsung di Dewan Tuan Guru
 Haji Othman Al-Yunusi, dekat sini.
Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi
 Zawawi dan Dr Ismail Salleh juga disiytiharkan menang tanpa
bertanding dan terus kekal menerajui PAS Kawasan Kuala Kedah
dan PAS Kawasan Alor Setar.
Manakala di Kubang Pasu, Speaker Dewan Undangan Negeri
(Dun) Kedah, Datuk Dr Isa Ismail kekal menyandang jawatan
 YDP Kawasan sejak sesi lalu apabila berjaya menewaskan
pencabarnya, Yusof Ahmad.
Sementara itu di Baling, Tuan Guru Awang Lanai @ Abdul
 Wahab Md Hassan yang diamanahkan sebagai YDP sejak
 1984 lalu terus kekal menerajui PAS kawasan tanpa dicabar,
manakala Adun Kupang, Johari Abdullah menewaskan Ahli
Parlimen Baling, Datuk Taib Azamuddin untuk kekal sebagai timbalan.
Jawatan YDP PAS Kawasan Sik yang sebelum ini disandang oleh
 Adun Jeneri, Yahaya Abdullah dimenangi pencabarnya, Che Uda
Che Nik yang juga Ahli Parlimen Sik, manakala Setiausaha Politik
Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohamad Nor yang bertanding jawatan
 timbalan tewas kepada lawannya, Bakar Baqilani Hassan.
Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu menyaksikan
penyandangnya, Hassan Razak menang jawatan YDP menewaskan
 pencabarnya yang juga Adun Bandar Baharu, Yaakob Husin dalam
 pertandingan dua penjuru itu.
Terdahulu empat kawasan lain iaitu Merbok, Jerlun, Sungai Petani
 dan Langkawi telah melengkapkan mesyuarat agung dan sesi
pemilihan jawatankuasa kawasan masing-masing.
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib
 dan Abdul Ghani Ahmad dipilih menerajui PAS Kawasan Merbok
 dan Jerlun, manakala Adun Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh kekal
di Sungai Petani dan Zubir Ahmad di Langkawi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PAS Kedah,
 Musoddak Ahmad yang dihubungi berkata baki empat lagi
kawasan akan bermesyuarat pada akhir April nanti.
"Empat lagi kawasan iaitu Padang Terap, Pokok Sena, Pendang
dan Padang Terap dijadualkan bermesyuarat agung bagi memilih
ahli jawatankuasanya pada akhir bulan ini.
"Manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah pula
 dijadualkan akan berlangsung pada 1 Mei nanti di Sungai Petani
 juga akan memilih barisan jawatankuasa kerjanya bagi sesi baru ini," katanya.

No comments: