Tuesday, October 12, 2010

MP PAS AKAN GEGARKAN PARLIMEN.....TAHNIAH DR ZUL

MP PAS AKAN GEGARKAN PARLIMEN.....

KUALA LUMPUR, Ahli-ahli Parlimen PAS mengakhiri sesi ‘retreat’
 tiga hari kelmarin — julung kali diadakan membabitkan
wakil-wakil rakyat parti Islam itu, menjanjikan akan membawa
sekitar enam isu baru untuk menggegarkan sesi Dewan Rakyat
 bersidang semula mulai hari ini.
Ia juga dilihat sebagai persiapan komponen Pakatan Rakyat (PR)
menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dan umum — disebut-sebut
sama ada akan diadakan berasingan ataupun serentak awal tahun depan.
Sambil menjanjikan beberapa “kejutan” isu pada sesi kali ini, yang akan
berlangsung selama 43 hari, beberapa wakil rakyat yang dihubungi
 mengesahkan mereka telah membincangkan sejumlah isu secara
menyeluruh dan meliputi semua bidang khususnya ekonomi.
Ahli Parlimen Kuala Selangor PAS Dr Dzulkefly Ahmad yang
bertindak sebagai pengarah ‘retreat’ sulung ini, yang diadakan
di sebuah hotel di ibu negara memberitahu, pihaknya membuat
 persiapan rapi memandangkan pelbagai pihak mendakwa Bajet
2011 adalah belanjwan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13.
Sesi itu dihadiri kesemua 23 Ahli Parlimen PAS.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan
 akan membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Jumaat ini.
Pada ‘retreat’ ini, ahli-ahli Parlimen PAS turut diberikan taklimat
oleh beberapa penganalisis politik dan ekonomi, membentangkan
senario politik dan ekonomi yang berkaitan dengan dasar-dasar
pentadbiran Najib.
“Kami bersiap sedia untuk menghadapi debat yang besar, ketika
ramai meramalkan sesi Parlimen ini adalah yang terakhir, walaupun
saya secara peribadi tidak bersetuju (dengan pandangan ini), dan
dengan meramalkan ini sebagai bajet pilihan raya, kami perlu bersiap
sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13,” katanya lagi.
“Sesi ini, selain sesi bajet, juga didedahkan dengn Rancangan
Malaysia Ke-10, program ETP dan Model Baru Ekonomi, EPP dan
BIZ Ops... banyak sitilah besar,” kata beliau.
Oleh itu, PAS menghimpunkan input semua pihak pada sesi yang
 diaturkan secara kebetulan ketika bersiap sedia menghadapi
pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas, kata ahli
 jawatankuasa kerja PAS pusat ini.
“Kami berdepan dengan cabaran perbahasan dengan akan adanya
 Bajet 2011 dan beberapa rang undang-undang yang telah
 diaturkan (oleh Parlimen),” kata bekas pengarah unit penyelidikan
PAS ini kepada The Malaysian Insider.
“Ini memerlukan persiapan yang rapi dan persefahaman dan
perkongsian maklumat di kalangan Ahli Parlimen kami,” kata
beliau sambil menambah, PAS “sebagai parti yang bertanggungjawab
mahu memastikan penyertaan yang aktif dalam perbahasan kali ini.”
Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-12 akan berlangsung
sehingga 15 Disember.
Baru-baru ini, Najib ketika berucap pada Perundingan Bajet
2011 menyifatkan Bajet 2011 sebagai yang akan menetapkan
rentak transformasi ekonomi ke arah ekonomi maju dan berpendapatan
tinggi menjelang 2020.
Persidangan kali ini juga bakal menyaksikan beberapa lagi rang
undang-undang yang dikemukakan untuk bacaan kali pertama pada
 sesi lepas dibentangkan termasuk Rang Undang-Undang Perbadanan
 Stadium Malaysia 2010, Rang Undang-Undang Lembaga
Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2010; Rang
 Undang-Undang Pemberi Pinjam Wang (Pindaan) 2010, Rang
Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 dan
Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009.
Selain itu, dua rang undang-undang yang ditangguhkan pada Jun
lepas iaitu Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda
(Pekerjaan) (Pindaan) 2010 dan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan)
 2010 turut disenaraikan untuk pembentangan pada persidangan kali ini.
Secara keseluruhan, komposisi Dewan Rakyat terdiri daripada 137
Barisan Nasional, 77 wakil Pakatan Rakyat dan lapan Bebas.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata,
pihaknya mahu menyediakan ahli-ahli Parlimen parti itu membuat
persiapan yang tersusun agar kelihatan berkesan apabila membangkitkan
isu dalam Parlimen.
“Kita telah sampai ke satu tahap politik dengan spekulasi bahawa
ini (kemungkinan) penggal dan sesi menyuarat akhir sebelum pilihan
 raya umum ke-13,” katanya.
Justeru jelas beliau, sesi pemukiman kali ini muncul penting bagi
menyediakan wakil rakyat PAS tampil dalam sesi perbahasan
dengan isu-isu secara lebih efektif menyentuh semua aspek kehidupan
rakyat.
“Kami membincangkan semua isu sama ada politik, ekonomi dan juga
 sosial,” katanya.
Ketika ditanya sama ada boleh mengharapkan kejutan, Ahli Parlimen
 Kubang Kerian ini berkata: “Sudah tentu ada kejutan, tetapi belum
sampai masa (untuk didedahkan sekarang).”
Rakan sejawatannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya
menjangkakan lima hingga enam isu baru akan dibawa ke sidang
Parlimen kali ini.
“Ya, retreat ini memang baru, kita adakan selama tiga hari...
dulu kami biasanya adakan perbincangan peringkat pramajlis sahaja,
dalam waktu yang singkat.
“Kami ambil langkah ini kerana mahu menaikkan martabat mutu
perbahasan, yang lebih baik dan mantap,” katanya sambil menambah:
“Kami hendak membawa satu bentuk perbahasan yang lebih
dinamik supaya rakyat faham isu-isu yang muncul, misalnya bercakap
 mengenai ETP dan Model Baru Ekonomi, rakyat tidak faham apa isunya.”
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pokok Sena ini menolak bahawa sesi
 ‘retreat’ kali ini ada kaitan dengan usaha awal PAS membuat persiapan
 menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Kita tidak tahu bila pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan,
tetapi jika pilihan raya negeri Sarawak tidak diadakan awal, kemungkinan
 pilihan raya negeri Sarawak dan umum akan diadakan serentak antara
 bulan Mac dan Jun tahun depan,” kata Mahfuz.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Datuk Halim Abdul Rahman
 tidak menolak pihaknya akan menyentuh soal komponen nilai-nilai
 Islam dalam pembangunan ekonomi demostik.
“Bercakap mengenai soal ETP, kita tidak faham... nampaknya ia
lemah dan tidak berdasarkan pada model yang jelas,” kata Ahli
Parlimen Pengkalan Chepa ini yang turut mengakui bahawa pihaknya
akan menyentuh soal ekonomi secara efektif dan menyeluruh agar ia
 memenuhi rakyat pelbagai kaum.
Katanya, langkah ini penting memandangkan PAS kini sudah dilihat
 sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan semua kaum.
“Ini persepsi semasa, jadi kami mengadakan perbincangan untuk
membawa isu-isu yang menyentuh rakyat semua kaum dan
masyarakat,” katanya yang membayangkan isu ekonomi dan
 jenayah akan menjadi fokus.
Sambil mengakui pertemuan ini sebagai julung kali paling lama
diadakan membabitkan Ahli Parlimen PAS, bekas setiausaha
agungnya Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, pihaknya juga menyentuh
 isu rancangan pembangunan Kampung Baru.
“Pertemuan ini salah satu langkah persiapan kami menghadapi pilihan
 raya, banyak isu yang kami timbulkan kali ini,” kata anggota Dewan
 Rakyat dari Tumpat ini.M/I

No comments: