Adab-adab semasa membuang air kecil atau air besar
1. Jangan membuka aurat sebelum masuk ke dalam tandas. Apa yang selalu atau kadang-kadang dilakukan oleh sebahagian dari kita hari ini iaitu menyelak atau mengangkat kain hingga nampak aurat sebelum masuk tandas adalah menyalahi Syarak. Hukumnya adalah haram.
2. Ketika memasuki tandas dahulukan kaki kiri dan sebelum melangkah masuk, bacalah terlebih dahulu doa masuk tandas;
بسم الله، اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث
(Riwayat Imam al-Bukhari)
3. Keluar dari tandas, dahulukan kaki kanan dan apabila telah berada di luar tandas bacalah doa setelah keluar dari tandas;
غفرانك، الحمد لله الذي أذهب عني الأذى وعافاني
(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
4. Janganlah bercakap-cakap semasa di dalam tandas kecuali tidak dapat dielakkan. Malah Nabi s.a.w. tidak menjawab salam ketika baginda sedang buang air. Ibnu Umar menceritakan; “Seorang lelaki telah lalu berhampiran Nabi s.a.w. yang sedang kencing. Ia memberi salam kepada baginda, namun baginda tidak memjawab salamnya”.[Riwayat Muslim]
5. Jangan membawa masuk barang-barang yang terdapat nama Allah atau ayat al-Quran atau sebagainya yang dimuliakan oleh agama.
6. Jika terpaksa membuang air di tempat yang tidak mempunyai tandas (seperti di hutan dan sebagainya), hendaklah menjaga adab-adab berikut selain dari adab-adab di atas tadi;
a) Hendaklah mencari tempat yang jauh dari orang ramai.
b) Jangan mengadap ke arah qiblat atau membelakanginya.
c) Hendaklah mencari tempat yang sesuai. Elakkan dari buang air di jalan lalu lalang orang ramai, tempat berteduh mereka, laluan air, di bawah pohon yang berbuah atau sebarang tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Hal tersebut amat dilarang oleh Nabi s.a.w. kerana mengundang laknat orang terhadap pelakunya.
d) Jangan buang air di air yang tenang. Jabir r.a. berkata; “Nabi menegah kencing di air yang tenang
e) Jangan buang air di lubang yang telah tersedia kerana ia dikhuatiri didiami oleh binatang atau jin. Abdullah bin Sarjis r.a. berkata; “Nabi s.a.w. melarang kencing ke dalam lubang”[Riwayat Abu Daud].
Hukum kencing sambil berdiri.
Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi s.a.w.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi s.a.w. kencing di situ sambil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi baginda. Namun baginda berkata kepadaku; ‘Hampirilah’. Aku pun menghampiri Nabi hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Setelah selesai kencing, Nabi mengambil wudhuk dengan menyapu dua khufnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan keharusan kencing sambil berdiri, bukan menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w.. Kebiasaan Nabi s.a.w. ialah kencing sambil duduk sebagaimana riwayat dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang berkata; “Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi s.a.w. kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).
Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menegaskan; hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka; perbuatan Nabi kencing berdiri dalam hadis pertama di atas adalah kerana ada keuzuran bagi baginda; kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafi’ie; orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.
Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas r.a. pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.
Kesimpulannya; kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulamak di atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir; “Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi s.a.w.”.
No comments:
Post a Comment