MELAYU TIDAK DAFTAR PEMILIH AKIBAT CARA UMNO BERPOLITIK
PAS berpandangan dengan laporan Berita Harian yang menyatakan bahawa nisbah 1 Melayu dan 40 orang bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi, ini angka petunjuk kegagalan Umno sebagai tonggak kepada negara pada hari ini gagal menyuntik kesedaran politik di kalangan orang Melayu.
PAS berpendapat perkara ini terjadi kerana Umno BN yang berkuasa di negara ini telah menjadikan generasi muda Melayu, hanyut dengan budaya hedonisme yang melampau. Orang Melayu yang dilanda dengan budaya ini memang mereka ini tidak akan memperdulikan soal politik dan apa sahaja gejala rasuah yang berlaku dalam negara kita. Umno mengharap dengan dihadang program hiburan sebegini maka mereka tidak akan mengambil peduli apa yang berlaku kepada negara ini. Maka Umno BN akan bermaharajalela untuk memfaraid harta negara kerana rakyat Melayu ini tidak memperdulikan apa yang Umno hendak lakukan seperti kapal selam yang tidak boleh menyelam, gadai harta negara seperti blok L dan M yang berharga RM320 bilion kepada kerajaan Brunei. Nampaknya strategi tempang telah makan tuan, sehingga orang Melayu sedikit mendaftar sebagai pengundi kerana diulit dengan program hiburan yang semakin menjadi-jadi.
PAS berpedapat bahawa akibat longgarnya pegangan agama di kalangan orang Melayu terutama remaja, sehingga mereka tidak ada kesedaran politik untuk mendaftar. Sejarah membuktikan orang Melayu sedar politik pada peringkat awal apabila golongan Islah yang dipimpin oleh ulamak seperti Sheikh Tahir Jalaludin dan Syed Sheikh al-Hadi yang pulang daripada Timur Tengah meniupkan kesedaran agama dan politik. Akhirnya orang Melayu ada kesedaran politik dan bangkit menentang penjajah. Keadaan berlaku sebaliknya apabila Umno cuba merenggangkan agama dan politik, dengan membendung fungsi masjid sebagai pusat ilmu untuk menerangkan Islam yang syumul. Maka sekarang terimalah padahnya kerana orang Melayu sudah mati kesedaran untuk berpolitik dan tidak berminat untuk mendaftar sebagai pengundi.
PAS melihat gagalnya orang Melayu mendaftar kerana umno telah menanamkan budaya takut semasa di pusat pengajian tinggi lagi. Politik ugut dan tidak bermaruah dalam pilihanraya kampus, akhirnya mereka menjadi ulat buku yang tidak berdunia dengan masyarakat serta tidak ada kesedaran politik. Mereka mengambil pendekatan untuk tidak mahu terlibat dalam politik kampus, sehingga setengah kampus terpaksa mewajibkan pelajar turun mengundi, kalau tidak mereka akan diambil tindakan seperti buang daripada asrama. Semua ini kesilapan Umno yang mematikan tunas kesedaran politik di kalangan mahasiswa. Sedangkan mereka ini adalah generasi pelapis negara, sekarang siapa yang rugi.
PAS menyeru supaya ahli PAS yang sudah cukup umur lahir sebelum tahun 1989, diwajibkan mendaftar sebagai pengundi. Semua jentera parti mesti menjadikan agenda daftar pemilih sebagai program yang diutamakan. Semua penceramah, pengkuliah, naqib memberi penekanan dalam ceramah dan kuliah mereka supaya mandaftar sebagai pengundi. Tekankan bahawa dafar mengundi adalah wajib. Kalau kuat bertakbir tetapi tidak daftar sebagai pengundi, kuasa Umno BN tidak akan jatuh di dalam PRU yang akan datang. Ini bererti negara akan menuju kepada kehancuran dan muflis.
Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
No comments:
Post a Comment