Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 7 Jun — Dewan Muslimat PAS menganggap presiden dan timbalan presiden parti itu tidak berhadapan dengan masalah besar dalam menyediakan kepimpinan masing-masing sebagai orang nombor satu dan dua entiti politik tersebut.
Bagaimanapun menurut Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh, kemungkinan ada di antara Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa tidak menonjol.
Pun begitu Nuridah tidak menyatakan siapa yang dimaksudkan sebagai “tidak menonjol.”
“Ya saya tengok OK, tiada masalah... tiada masalah, melainkan kalau ada yang tidak menonjol,” kata beliau ketika ditemui selepas siding media di sini hari ini.
Nuridah berkata, secara umum jikapun wujud kekurangan dalam kepimpinan Hadid dan Nasharudin, aspek tersebut boleh diperbaiki.
“Kalau ada masalah, ini pandangan saya secara umum, kita boleh baiki, termasuk diri saya,” katanya lagi.
Turut hadir pada sidang media pagi ini yang diadakan sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat di Kota Baru, Khamis ini ialah Naib Ketuanya Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Penerangan Salbiah Abd Wahab.
“Bagi saya kedua-dua mereka biasa sahaja... presiden dan timbalan presiden macam biasa sahaja,” kata Nuridah lagi.
Ketua sayap wanita PAS itu ditanya sama ada kemungkinan akan ada usul pada muktamar tahunan parti tersebut, menyentuh hubungan dan gandingan kedua-dua presiden dan timbalan presiden.
The Malaysia Insider dalam laporannya hari ini menyebut Muktamar Tahunan PAS kali ini di Kota Baru tidak melibatkan pemilihan, tetapi ia disebut-sebut akan tetap panas lagi menarik tumpuan dengan fokus terhadap keberkesanan kepimpinan barisan kanan sebagai persiapan menghadapi pemilihan tahun depan dan juga pilihan raya umum ke-13.
The Malaysian Insider difahamkan pemimpin yang akan menjadi tumpuan dan berada dalam senarai teratas sebutan perwakilan ialah Nasharudin, yang menewaskan dua pesaingnya dalam pemilihan setahun lalu.
Pada Jun lalu, Nasharudin dengan mudah mengetepikan kedua-dua naib presiden ketika itu Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.
Seorang perwakilan mendakwa keberkesanan gandingan Presiden dan Timbalan Presiden PAS akan disentuh memandangkan ada pihak dalam parti berpendapat bahawa Nasharudin, yang juga Ahli Parlimen Bachok, tidak memainkan peranan sebagai gandingan secara berkesan kepada orang nombor satu sejak dipilih semula sebagai timbalan presiden tahun lalu.
Perkara itu dibangkitkan oleh beberapa kawasan PAS sambil mengaitkan dengan isu idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN.
Nuridah berkata, dalam ucapannya pada Muktamar Dewan Muslimat kali ini beliau akan menyentuh isu idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik.
Mengenai isu lesen judi sukan, Nuridah berkata pihaknya bersama Sekretariat Wanita Pakatan Rakyat akan menyerahkan memorandum bantahan judi sukan kepada Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin di bangunan Parlimen esok.
Beliau juga berkata, Kumpulan Berjaya tidak perlu membuat rayuan kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang memutuskan tidak akan meluluskan premis untuk judi sukan.
“Saya nak minta Kumpulan Berjaya tidak perlulah merayu, dengar saja pandangan orang ramai yang membantah,” katanya lagi.
Mengenai Muktamar Tahunan Dewan Muslimat pula kata beliau, pada tahun ini PAS melaksanakan pindaan kepada peruntukan perwakilan Muslimat untuk Muktamar Muslimat PAS Pusat yang telah diluluskan perlembagaan parti dengan melibatkan perwakilan seramai empat orang dari setiap kawasan di seluruh negara.
“Ada sebanyak 155 Dewan Muslimat Kawasan di seluruh Malaysia, menjadikan jumlah Muslimat yang akan hadir seramai 620 orang.
“Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, perwakilan Muslimat hanya 15 orang bagi setiap negeri.
“Ini bermakna pertambahan bilangan yang hadir adalah jauh lebih besar dari sebelumnya,” kata beliau sambil menambah perubahan ini juga menjadikan PAS sebagai satu parti yang lebih demokratik dan dinamik terutama dalam penglibatan kaum wanita.
Monday, June 7, 2010
Muslimat PAS: Presiden, timbalan tiada masalah mungkin ‘kurang menonjol’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment