Nik Aziz anggap isu JI gimik politik Umno
KOTA BHARU, 24 Jun: Sejak isu
Jemaah Islamiah (JI) didedahkan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa
Hassan namun sehingga kini belum
kedengaran ada pihak yang ditahan
pihak keselamatan.
Kenyataan polis mengusir 10 anggota
JI dalam operasi yang dijalankan polis
sejak awal tahun ini diragui banyak pihak memandangkan ia baru digegerkan
sekarang.
Maka tidak hairanlah ramai
menganggap isu JI sengaja
diada-adakan setelah kerajaan
Barisan Nasional (BN) berdepan
dengan banyak isu kronik termasuk
lesen judi bola sepak dan kehadiran
syarikat milik Yahudi di negara ini.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat
isu JI seperti sengaja dibuat-buat dalam kondisi politik sekarang.
“Ini kerana apabila Umno jatuh tidak ada peluang hendak naik semula.
Ini kerana mereka bukan hendak jaga Islam sebaliknya mereka sendiri
tolak Islam.
”Mereka tidak boleh kempen orang Melayu kena jaga Islam kerana
mereka sendiri tolak Islam. Hendak jaga ekonomi, mereka yang
menjadi punca ekonomi merudum,” katanya ditemui di sini, hari ini.
Baru-baru ini Ketua Polis Negara mendakwa kumpulan militan,
Jemaaah Islamiah warga asing dikesan menghidupkan kembali
perjuangan mereka dengan merekrutkan remaja dan pelajar
di institusi pengajian tinggi.
Ekoran kenyataan itu pelbagai pihak termasuk Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap isu JI sengaja ditimbulkan
sekarang kerana kerajaan BN cuba mengalih perhatian rakyat.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata,
beliau berkeyakinan isu JI yang digegerkan sekarang sekadar satu
gimik politik pemimpin Umno setelah menyedari sokongan rakyat merosot.
”Tengok apa yang berlaku terhadap Allahyarham Nik Abdullah Arshad,
Datuk Mahfuz Omar, Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim dan ramai lagi
pemimpin pembangkang yang pernah ditahan di bawah ISA tanpa ada
sebarang alasan munasabah.
”Mereka ditahan di bawah ISA hanya direka-reka kesalahan bagi
menghalalkan kerajaan bertindak,” ujarnya.
Sementara itu Dewan Ulamak PAS Kelantan melahirkan rasa terkejut
dan dukacita apabila ada pihak cuba mengaitkan nama Presiden PAS,
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan JI.
Ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata, situasi yang berlaku sekarang
memperlihatkan kerajaan berada dalam dilema yang amat sangat
sehingga terpaksa mencipta isu baru bagi mengalih perhatian rakyat.
”Tuduhan seperti ini boleh menjejaskan kewibawaan dan keilmuan
seseorang. Begitu juga tenaga akademik di IPT cuba dibabitkan
dengan isu tersebut sedangkan kerajaan tiada bukti bagi
mempertahankan dakwaan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment