Tuesday, March 23, 2010

RUKUNEGARA - KEPERCAYAAN KEPADA ALLAH

'Kepercayaan kepada Allah.'

PAS mahu Rukunegara dipinda

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (bawah, berserban) berkata pemimpin Islam gagal menangani isu penggunaan kalimah Allah sehingga menyebabkan berlakunya serangan ke atas rumah-rumah ibadat.

Beliau yang juga wakil PAS berkata dari segi hukum, Islam tidak melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah berkenaan.

"Apa yang penting ialah penjelasan, dialog di antara pemimpin-pemimpin agama, bukan diserahkan kepada mereka yang bebal dan menggunakan hukum akal, tidak menggunakan nas.

"Malangnya perkara ini dibawa ke mahkamah, berlakunya pembakaran gereja, berlaku pembakaran masjid, berlaku perkara negatif.

"(Ini) menunjukkan kita tidak menangani perkara ini dengan baik," katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, peluang itu juga seharusnya digunakan untuk berdakwah dan memberi penerangan mengenai Islam kepada golongan bukan Islam.

"Mereka guna perkataan Allah, dan sepatutnya peluang ini digunakan untuk masuk ke gelanggang mereka untuk menjelaskan.

"Saya minta supaya kerajaan meminda Rukunegara yang pertama, kepada kepercayaan kepada Allah," tegas Hadi.

Katanya lagi, al-Quran tidak pernah menghalang penganut agama lain daripada menggunakan kalimah Allah semasa hayat Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, pendirian seperti itu boleh dilihat dalam surat yang dikirim oleh Nabi Muhammad kepada Raja Mesir yang menganut Kristian.

"Tanpa memaksa mereka menerima agama kita, kita berhujah sekiranya berlaku kekeliruan," katanya lagi.

Jelasnya, dalam warkah berkenaan, Nabi Muhammad memberitahu Raja Mesir bahawa umat manusia tidak boleh menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada di kalangan pemimpin mahupun di kalangan paderi.

Katanya, Nabi Muhammad juga tidak menghalang penganut Kristian itu menggunakan kalimah Allah.

"Di sinilah mengapa Islam membenarkan penganutnya makan sembelihan daripada penganut agama lain (ahli kitab).

"Sembelihan mereka halal kerana mereka menyembelih dengan menyebut nama Allah.

"Ini menunjukkan keizinan itu berlaku," kata Abdul Hadi lagi.

Ketika ditemui media selepas itu, Abdul Hadi berkata beliau turut mencadangkan supaya perkara 'kepercayaan kepada tuhan' dalam Rukunegara diubah dengan 'kepercayaan kepada Allah.'

Jelasnya perkara tersebut boleh dilakukan memandangkan masyarakat bukan Islam sudah boleh menerima Islam sebagai sebahagian daripada agama mereka.
"Kerajaan perlu terima positif dalam tangani isu ini, bukan negatif. Penganut agama Kristian dan agama lain sudah sedar Allah diberi nama unggul, perkataan lain yang mereka guna sebelum ini, God, Lord dan lain-lain tidak tepat," katanya.

"Ini menunjukkan mereka sudah terima Allah sebagaimana mereka terima Islam sebagai agama. (Jadi perlu) ubah Rukunegara kepada lebih pro-aktif dalam masa sama tuju ke arah perpaduan rakyat," katanya lagi dan menambah kekeliruan yang berlaku adalah akibat kejahilan orang Islam sendiri dalam membuat penafsiran.

1 comment:

Unknown said...

Rukun Negara untuk semua kaum dan agama. Ianya termasuk Budha, Hindu, Bahai dan lain2 agama. Sedangkan penganut2 ini TIDAK mahu gunakan perkataan 'ALLAH'


Kristian mahukan pengunaan 'ALLAH' cuma dalam terbitan 'Herald The Catholic' yang berbahasa melayu sahaja.

Tujuan untuk memesongkan anak muda mudi yang lemah dan cetek pengetahuan Islam nya.