Tuesday, December 15, 2009

Kerajaan Najib Nyaris Tumbang Lewat Malam Tadi...!!!

Oleh HASMI HASHIM
Dewan Rakyat bergegar dan Kerajaan Najib nyaris sahaja tumbang malam tadi!
Usul untuk meluluskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat (Isnin, 14 Disember 2009) menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti tipis iaitu dengan 3 undi berbanding Pakatan Rakyat.
Sebelum itu, usul bagi perbekalan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang dikira lebih awal iaitu sekitar jam 10.30 malam menyaksikan ia diluluskan hanya dengan 1 undi majoriti, iaitu 63 di pihak Pakatan Rakyat dan 64 di pihak BN.
Proses pengundian yang dikenali sebagai “belah bahagi” itu berlangsung kira-kira jam 10.45 malam sehingga kira-kira jam 11.30 malam, dengan beberapa ahli parlimen BN bergegas tiba dan mulai masuk ke dalam dewan sekitar jam 10 malam.
Sebelum itu, sesi jawapan menteri bagi kementerian terakhir iaitu KDN juga seperti sengaja dilengah-lengahkan bagi menanti ketibaan ahli-ahli Parlimen BN bagi mempertahankan Kerajaan Najib. Menurut jadual, sepatutnya jawapan menteri tamat kira-kira jam 9.30 malam, tetapi berlarutan sehingga lebih jam 10 malam.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di perkarangan Parlimen kira-kira 10 minit lebih awal berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sampai sekitar jam 10.10 malam.
Speaker Dewan, Tan Sri Pendekar Amin Mulai yang membacakan keputusan itu menyebutkan dengan kiraan undi untuk meluluskan Bajet 2010 ialah keseluruhan BN-66 dan Pakatan Rakyat-63. Keputusan berkenaan bagaimanapun tidak boleh dibantah walaupun cuba dilakukan oleh beberapa ahli dewan Pakatan Rakyat.
Saat-saat dramatik itu bermula ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat sudah mulai riuh dan bersorak menandakan lakaran sejarah baru ini di dalam Dewan apabila di antara mereka turut mengira bahawa Pakatan Rakyat mendahului kiraan dengan majoriti tipis, iaitu 1-3 undi.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga berada di dalam dewan dilihat begitu tenang namun serius mengemudi ‘penentangan’ hebat tersebut. Turut bersama menggempur BN saat itu ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas dan Lim Kit Siang, Pengerusi DAP.
Menurut seorang ahli parlimen yang berada di situ, beliau ragu dengan jumlah undi yang tertulis dan diserahkan kepada Speaker oleh Setiausaha Dewan, Datuk Rosmini Ahmad.
“Setiausaha Dewan tuliskan angka itu dikertas dan dia sendiri pun kelihatan sudah menggigil dan pucat muka,” katanya.
Menurut sumber yang tidak mahu namanya dipetik berkata, kiraan untuk Bajet 2010 itu bertambah bilangannya apabila dua lagi ahli dewan baru masuk ke dalam dewan iaitu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan, disusuli ketibaan Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga merupakan Presiden MCA.
Seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat, R Sivarasah Rasiah bangun dan cuba membantah sewaktu usul bagi KDN yang diluluskan begitu cepat dan perlunya kiraan semula, tetapi telah ditolak oleh Speaker dewan.
Lebih mengharukan menurut ahli parlimen itu lagi, terdapat beberapa orang senator yang masih berada di dalam Dewan, yang memungkinkan turut dikira sedangkan senator adalah tidak layak untuk mengundi dan tidak boleh berada di dalam dewan sewaktu proses pengundian.
Selain itu, buat pertama kalinya, dua timbalan speaker terpaksa duduk di tempat ahli parlimen bagi dikira sekali undian mereka, iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee. Memang hal ini dibenarkan mengikut peraturan dewan, tetapi ia tidak pernah terjadi sebelum ini.
Para pegawai Perlimen yang bertugas juga menyaksikan episod tersebut. Andai tidak, kita akan menyaksikan bagaimana buat pertama kalinya, BN tumpas dalam kiraan undi di Dewan Rakyat yang memboleh implikasi kerajaan Najib menerima usul undi tidak percaya.
Pada sebelah siangnya, Speaker dewan turut menolak usul pindaan Akta Pembangunan Petrolium 1974 yang antara lain menyebabkan kerajaan negeri Kelantan dinafikan hak mendapat royalti minyak daripada kerajaan Pusat.

No comments: