Tuesday, November 3, 2009

SETIA SEORANG ISTERI TIDAK DAPAT DIJUAL BELI

Wook Kundur rayu suaminya dibebas segera dari Pusat Serenti

HULU TERENGGANU: Wook Kundur, 107, antara wanita tertua di negara ini dan mempunyai suami hampir 70 tahun muda daripadanya, merayu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar memendekkan tempoh penahanan suaminya yang kini ditempatkan di Pusat Serenti Sungai Besi di Kuala Lumpur.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat di sini, beliau berkata keadaannya yang semakin uzur menyebabkan beliau memerlukan suaminya, Mohd Nor Che Musa, 38, sentiasa berada di sisinya.

"Sekarang ini tok tak ada tempat bergantung," katanya.


Wook berkata beliau berharap suaminya yang menjalani pemulihan secara sukarela selama dua tahun sejak Julai lalu kerana didapati positif mengambil dadah, dibebaskan dalam masa terdekat atau dipindahkan ke Terengganu.

Katanya walaupun jiran-jiran dan orang ramai sering memberi bantuan dengan menghantar makanan seperti beras dan gula tetapi itu semua tidak sama berbanding suami ada berdekatan.

"Tok ada dengar khabar yang suami akan dipindah ke Pusat Serenti di Besut. Kalau dia betul-betul ditempatkan di Pusat Serenti Besut, senanglah sedikit tok melawat dia," katanya.

Wook, yang pernah berkahwin sebanyak 22 kali, berkata sepeninggalan suaminya sejak tiga bulan lalu, dia pernah beberapa kali berbual melalui telefon dan ada mengunjunginya sekali di Sungai Besi sebelum Aidilfitri yang lalu.

"Kalau boleh biarlah Mohd Nor cepat-cepat bebas kerana tok susah tinggal seorang diri. Malam-malam kalau sakit, siapa nak tolong tok. Kalau ada suami, senanglah," katanya yang masih kuat ingatan dan pendengaran walaupun berusia lanjut. - Bernama

2 comments:

Unknown said...

Kak Leha,

Cuba carikan jawapan dari nenek wok ni, ngapa dia kahwin sampai 22X?

1. Bercerai mati berapa kali
2. Bercerai hidup berapa kali

ada kawan kat office nak menuntut ngan dia.

anakmuaallaf said...

Kik..kik..nanti Kak Leha g Ganu..siasat deh...