Saturday, October 31, 2009

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS SELANGOR

dari e-mel yang saya terima


30 Oktober 2009

Dewan Pemuda PAS Selangor menyatakan pendirian menerima keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS pada 28 Oktober 2009 bagi menangani persoalan dan kemelut dalam PAS yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Dewan Pemuda PAS Selangor juga meraikan keputusan menyelesaikan permasalahan dalaman melalui siasatan oleh Jawatankuasa Disiplin Parti. Dengan ini, tidak berbangkit lagi soal EGM (mesyuarat agung luarbiasa) kecuali jika ada keperluan dan menepati syarat yang ditetapkan.

Kami juga berbangga dengan kepimpinan PAS Selangor kerana telah akur dengan keputusan mesyuarat khas itu dan telah menyatakan kesediaan untuk disiasat serta memberi jaminan kerjasama yang baik demi membersihkan parti dari segala salah faham dan fitnah yang berlaku.

Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap dan menggesa ahli pemuda semua peringkat agar turut mematuhi keputusan mesyuarat khas tersebut dengan tidak membuat sebarang spekulasi, kenyataan peribadi atau menyalakan kembali api fitnah menerusi apa jua media terbuka yang tidak sepatutnya seperti blog dan lain-lain.

Kami menyeru agar semua ahli dan blogger yang cintakan PAS sebagai sebuah jemaah islam serta harakah islamiyyah yang sedang berjuang untuk mendaulatkan islam menulis dengan pendekatan mencari titik pertemuan, merapatkan jurang perbezaan bukan menjarakkan lagi jurang penyelesaian dan ukhwah.

Kami berharap, jika ada sebarang kes yang difikirkan perlu ditangani, hendaklah didahului dengan kaedah yang terbaik mengikut adab-adab berjemaah serta ukhwah islamiyyah yang telah digarap sekian lama. Sekiranya perlu, kumpul bukti untuk dikemukakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti, agar jelas adakah ianya tuduhan yang berasas atau sekadar sangkaan yang keliru.


Kami juga bersetuju dengan gesaan PAS Selangor agar Jawatankuasa Disiplin Parti membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang membarahi PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui ceramah, penulisan, saluran media dan blog mahupun ulasan dalam akhbar dan lain-lain. Jika ada sepuluh orang yang bermesyuarat, jangan ada orang kesebelas yang mengetahui isi kandungan mesyuarat yang bersifat rahsia tersebut.

Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru kepada semua ahli parti agar menumpukan gerakerja dakwah dan pengukuhan dalaman serta tidak membicarakan isu ini bagi mengelak berlaku salah faham dan kekeliruan yang berpanjangan sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai.

Ustaz Hasbullah Ridzuan
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

1 comment:

Anonymous said...

Senang cerita ikut aje kehendak pimpinan..TGNA tak akan menjatuhkan PAS.