SPR kuat kuasa enam peraturan hari mengundiOleh Magendran Rajagopal
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
PETUGAS SPR membuat persiapan terakhir pada peti undi sebelum menyerahkannya
kepada ketua pusat mengundi di Pusat Perjumlahan Undi Pilihan Raya Kecil
DUN Permatang Pasir Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam, semalam.
Pupuk budaya pilihan raya lebih aman, berdisiplin, sopan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan enam peraturan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 akan dikuat kuasa pada hari mengundi pilihan raya kecil Permatang Pasir, esok.
Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik, berkata peraturan itu merangkumi larangan:
# Mengadakan, mengumumkan, menganjurkan sebarang bentuk perjumpaan atau perhimpunan;
# Membekalkan atau menyediakan bahan muzikal atau mikrofon untuk tujuan berkempen;
# Menyediakan pondok panas berhampiran pusat membuang undi;
# Menggunakan kediaman peribadi, lot kedai, dewan atau sebarang premis lain bagi tujuan berkempen;
# Merayu undi; dan
# Memakai, memegang atau membawa kain, bahan hiasan, botol atau payung yang tertera logo calon atau parti.
"Sesiapa yang didapati bersabit dengan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
"Polis juga boleh menahan pesalah berkenaan dan mendakwa mereka mengikut Kanun Keseksaan tetapi saya memohon kepada semua parti politik yang terbabit dalam pilihan raya kecil ini supaya patuh kepada peraturan sedia ada," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau juga menasihatkan pengundi supaya hanya memeriksa butiran mengundi masing-masing di pejabat sementara SPR yang disediakan di setiap pusat pengundi.
Ngah menjelaskan, tindakan menguat kuasa peraturan itu bertujuan memupuk budaya pilihan raya yang lebih aman, berdisiplin dan sopan, bukan saja di kalangan pengundi, sebaliknya pada masyarakat secara umum.
Katanya, keadaan di Permatang Pasir setakat ini tenang dan beliau yakin proses pembuangan undi tidak menghadapi sebarang masalah sekiranya semua pihak patuh kepada arahan pihak berkuasa dan peraturan sedia ada.
No comments:
Post a Comment