Tuesday, August 25, 2009

Permatang Pasir : RASMI - Alhamdulillah PAS Menang..


Calon PAS Menang Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos (Bernama) -- Calon PAS Mohd Salleh Man, 52, hari Selasa memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu memperolehi 9,618 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya pada pukul 7.25 malam di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jalan Berapit, di sini.

Sebaik Mohd Salleh diumumkan sebagai pemenang, kedengaran penyokong yang berada dalam dewan itu bersorak kegembiraan.

ntara pemimpin yang dilihat berada di Dewan Perdana itu ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mansor Othman. Selepas diumumkan sebagai pemenang, Mohd Salleh turun dari pentas dan menjamah kurma untuk berbuka puasa. Calon BN tidak kelihatan di dewan itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lepas kerana serangan jantung.

DUN Permatang Pasir merupakan kubu PAS di Pulau Pinang dan satu-satunya kerusi yang dimenangi parti itu sejak tiga penggal lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hamdan mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi setelah memperoleh 11,004 undi.

Pada pilihan raya umum itu, 82.6 peratus daripada 20,350 pengundi keluar mengundi manakala pada pilihan raya kecil kali ini, sebanyak 73.1 peratus daripada 20,290 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.

-- BERNAMA

No comments: